Mengimbas Ruh Ibadah Umrah(Siri Pertama)

October 17, 2010

Kali ini insya Allah saya akan berkongsi dengan pembaca mengenai sebahagian daripada perjalanan ibadah Umrah saya pada bulan Ramadhan yang lepas.Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil nilai-nilai pengajaran yang sangat banyak terkandung dalam ibadah ini.Harapannya juga agar artikel ini dapat membakar semangat kepada semua untuk melaksanakan ibadah Umrah dan lebih-lebih lagi ibadah Haji pada usia yang muda.Dalam siri kali ini,saya akan fokuskan penulisan ini tentang perjalanan dan kehidupan saya di bumi Mekah Mukarramah sahaja.Insya Allah pada siri akan datang,saya akan ceritakan pula mengenai perjalanan di bumi Madinah Nabawiyyah.

Sebenarnya amatlah beruntung bagi mereka yang telah menjejakkan kaki di dua tanah Haram iaitu Mekah dan Madinah.Semua ini adalah daripada izin Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita menjadi tetamu-Nya di sana.Ada dalam kalangan sahabat saya yang tidak dapat ke sana kerana masalah-masalah yang berlaku pada saat-saat akhir di mana mereka pada masa itu sudah pun berada di Lapangan Terbang Kaherah menunggu pesawat untuk berlepas ke Jeddah,Arab Saudi.Maka,bagi mereka yang telah pun selesai menunaikan ibadah Umrah ataupun Haji,mestilah bersyukur kepada Allah dengan sebenar-benar syukur,bukan sekadar pada lisan tapi yang lebih penting pada perubahan amalan dan perbuatan ke arah yang lebih baik. Teruskan pembacaan


Pesanan Buat Adik-Adik Yang Akan Ke Mesir

September 2, 2009

Tiba-tiba saya terasa terpanggil untuk menulis suatu artikel khas buat adik-adik yang akan ke Mesir tidak lama lagi.Mungkin sebelum daripada ini,telah ramai abang dan kakak lain yang telah memberi pesanan dan nasihat,namun mungkin di sini ada beberapa aspek yang tidak disentuh oleh mereka.

Sebelum terlupa,saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang dipilih oleh ALLAH Azza Wajal kerana dapat menyambung pelajaran di bumi Mesir.Mungkin kita semua mengatakan kita telah dipilih oleh JPA,MARA atau badan penaja lain,tetapi hakikatnya inisemua adalah takdir ketentuan ALLAH dan rezeki-Nya kepada kita dianugerahkan peluang untuk menimba ilmu di sana.Berapa ramai kawan kita yang mungkin cemerlang juga keputusan peperiksaan SPMnya tetapi tidak berpeluang untuk mendapat tajaan seperti ini.Maka,marilah kita memperbanyak kesyukuran kita kepada-Nya.

Baiklah,saya ingin gariskan beberapa peringatan yang dirasakan perlu diketahui oleh adik-adik.Hal ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa ini di Mesir hampir selama setahun.

1)MENGUBAH PERSEPSI DAN BERSEDIA SEPENUHNYA SECARA FIZIKAL DAN MENTAL

Bila disebutkan Mesir,ramai daripada kita terbayang sebuah negara yang biasa,yang dipenuhi dengan padang pasir,pohon-pohon kurma serta unta.Kita juga membayangkan masyarakat di sana mengamalkan Islam secara sempurna dan kebanyakan wanita mereka memakai jubah serta berpurdah.Sebenarnya jangkaan dan agakan ini tidak tepat untuk menggambarkan negara Mesir lebih-lebih lagi di ibu kota Kaherah.Adik-adik yang akan belajar di universiti-universiti yang terdapat di Kaherah seperti Universiti Kaherah,Universiti Ains Shams dan Universiti Al-Azhar akan mendapati bahawa kota Kaherah ini ialah sebuah ibu kota yang sedang membangun namun tidaklah sepesat seperti Kuala Lumpur.

Di Kaherah,sukar sekali untuk kita menjumpai unta dan pohon-pohon kurma kerana ia dikelilingi oleh bangunan-bangunan batu sahaja.Hanya satu dua sahaja pokok yang besar dapat kita temui.Manakala wanita di sana pula,pada pengamatan saya hanya 40% sahaja yang memakai pakaian mengikut syarak,selebihnya tidak mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh syarak.Bagaimanapun saya ingin memuji golongan lelaki di Mesir kerana kebanyakan mereka berambut pendek dan berkasut.Tidak pernah saya temui golongan-golongan seperti Punk,Skin Head dan sealiran dengannya yang makin bercambah di Malaysia wujud di Mesir.Alhamdulillah,ini mungkin kerana mereka tidak begitu didedahkan dengan unsur sedemikian ataupun budaya masyarakat di sana menolaknya.

Permandangan di bandar Kaherah

Permandangan di bandar Kaherah

Mungkin ada abang atau kakak yang pernah mengatakan bahawa orang Mesir ini sedikit kasar.Ya,memang benar.Saya akui bahawa orang Mesir ini agak kasar berbanding dengan kita orang Malaysia.Pernah guru Mesir yang mengajar bahasa Arab kepada saya di Markaz Lughah Nil,Ustaz Ibrahim Azzam mengatakan orang Malaysia ini umpama malaikat yang berjalan di atas muka bumi kerana kesantunan dan keramahan pelajar Malaysia dalam banyak perkara.

Contoh yang saya boleh berikan untuk menggambarkan orang Mesir ini sedikit kasar ialah mereka dalam banyak hal suka bertengkar,bertikam lidah dan meninggikan suara.Maka tidak hairanlah jika kita dapati pemandu bas yang sedang memandu bas yang sarat dengan penumpang boleh berbalah dengan pemandu kereta di sebelahnya ketika masing-masing sedang bergerak sedangkan jalan raya pada masa itu juga sibuk dan penuh dengan kenderaan-kenderaan lain.

Bagi lelaki,untuk kita naik atau turun daripada bas,jangan kita tunggu sehingga bas itu sepenuhnya kerana kadang-kadang sahaja pemandu bas berbuat demikian.Untuk naik atau turun daripada bas kita perlu melompat sedikit tetapi dengan teknik yang betul.Ada sahabat saya yang pernah terjatuh ketika melompat untuk turun daripada bas.Maka berhati-hatilah dan pelajarilah teknik yang betul daripada abang-abang di sana nanti.Namun,bagi perempuan,alhamdulillah mereka tidak perlu bersusah-payah seperti itu kerana saya dapati kebanyakan pemandu bas kebiasaannya akan memberhentikan bas sepenuhnya jika ada perempuan yang ingin naik atau turun daripada bas.

Walaupun orang Mesir ini terkenal dengan kekasarannya,namun sebenarnya mereka sebenarnya ada satu sifat yang menarik iaitu suka bergurau atau membuat lawak.Umpamanya yang boleh saya sebutkan,jika kita ingin membayar duit untuk barang yang kita beli,sebahagian peniaga Mesir akan mengatakan “kholli” yang bermaksud lebih kurang begini “tak payah bayar,simpan je duit tu.percuma”.Bagaimanapun sebenarnya itu hanyalah gurauan semata-mata kerana jika kita keluar dari kedai dengan tidak membayar,mereka akan memanggil balik kita meminta wang bayaran.Banyak lagi gurauan-gurauan yang mereka selalu buat.Jika kita mampu bercakap dan memahami bahasa Arab ‘Ammi dengan baik,kita akan tahu bahawa masyarakat Mesir ialah masyarakat yang suka bergurau dan membuat lawak jenaka.

Oleh itu,adik-adik semua perlulah mengubah persepsi mengenai Mesir yang mungkin sebelum ini tidak tepat.Ada sebahagian ustaz yang menceritakan bahawa Mesir adalah negara yang sangat teruk.Bagi saya tidak!Mesir seperti negara-negara lain yang mempunyai kelebihan dan kekurangan.Maka kita sebagai orang yang dikurniakan akal oleh ALLAH seharusnya mencontohi nilai yang baik itu dan meninggalkan apa yang tidak baik.

Kekuatan dari segi fizikal dan mental perlu ditanam kerana iklim dan cuaca di sana jauh berbeza dengan Malaysia.Di sana,dipenuhi dengan debu-debu dan mempunyai musim panas dan sejuk yang agak panjang.

Keadaan di dalam dewan kuliah

Keadaan di dalam dewan kuliah

2)BUKU YANG PERLU DIBAWA

Perkara ini banyak diabaikan oleh ramai orang.Bila tiba di sana,barulah kita rasa menyesal kerana tidak membawa buku yang sepatutnya bersama dahulu.Bagi saya,buku yang mesti dan mesti dibawa ialah segala jenis buku dan nota yang berkaitan dengan bahasa Arab.Bagi mereka beraliran agama di sekolah menengah dahulu,bawalah buku-buku nota berkaitan dengan bahasa Arab.Hal ini kerana semua itu diperlukan untuk kita memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Arab kita di sana.

Sebahagian daripada kita apabila ditanya kenapa memilih Mesir sebagai destinasi pengajian pilihan,mengatakan kerana ingin menuntut ilmu agama di sana di samping ilmu perubatan.Sedarkah kita kunci kepada penguasaan ilmu agama ialah penguasaan kita dalam bahasa Arab kerana kebanyakan kitab agama adalah dalam bahasa Arab dan,al-Quran serta hadis nabi s.a.w. juga dalam bahasa Arab.

Bagi yang belajar bahasa Arab di sekolah menengah,ketahuilah bahawa apa yang diajar di peringkat SPM sebenarnya adalah di peringkat yang agak tinggi kerana mempunyai Balaghah(sastera).Sebab itulah dinamakan Bahasa Arab Tinggi.Sebenarnya jika kita semak senarai subjek yang akan diambil dalam SPM terdapat juga subjek Bahasa Arab Komunikasi tetapi peringkatnya lebih rendah daripada Bahasa Arab Tinggi.Jika di Mesir,anda mengambil ujian peperiksaan bahasa Arab di mana-mana Markaz Lughah,kita akan dapati kebanyakan soalan yang terdapat di dalam ujian daripada peringkat persediaan hingga ke peringkat keempat,ianya telah dipelajari di sekolah dahulu.

Selain daripada itu,bawalah buku dan majalah ilmiah kerana di sana nanti kita hanya akan dihidangkan dengan bahan bacaan berbahasa Arab yang jika kita baca,kita sukar untuk memahaminya 100%.Jadi,buat sementara waktu ini dalam masa kita mempertingkatkan penguasaan bahasa Arab,setidak-tidaknya kita dapat menambah pengetahuan kita dengan bahan-bahan ilmiah yang dibawa dari Malaysia.

Ruangan yang terdapat di Universiti Kaherah ini kebiasaannya menjadi tempat berehat pelajar

Ruang rehat dan lepak di Universiti Kaherah

Bagi buku berkaitan perubatan,saya rasa tidak perlu untuk dibeli di Malaysia kerana di Mesir semuanya telah ada.Insya ALLAH pada bulan Disember nanti akan diadakan satu pesta buku besar-besaran(Ma’rad Kutub) di Mesir.Di situ,akan dijualkan pelbagai jenis buku dan bahan-bahan ilmiah sama ada dalam bidang agama mahupun perubatan.Jadi,dapatkan buku-buku perubatan International Edition di situ.

3)PEMILIHAN RAKAN SERUMAH(AHLI BEIT)

Hal ini juga sangat mustahak untuk diambil perhatian.Mungkin kebanyakan daripada kita pada awalnya tidak mengambil kisah sangat siapa rakan serumahnya.Tetapi ketahuilah,hakikat yang berlaku dalam kalangan abang atau kakak di Mesir,sudah banyak kes yang berlaku di mana ada yang berpindah rumah kerana tidak serasi dengan ahli beit bahkan ada yang tidak bertegur sapa dalam jangka masa yang lama.Maka,,hal ini mestilah dipandang serius.Bagi saya,ketepikan cakap-cakap orang dalam memilih ahli beit,kononnya kita assabiah dengan negeri atau sekolah.Apa yang penting,pastikan ahli beit kita itu serasi dan mudah berinteraksi dengan kita.

Bagaimanapun,apa yang lebih penting daripada itu sebenarnya pemilihan ahli beit mestilah berdasarkan pegangan agama yang teguh serta akhlak  mulia yang terdapat padanya.Mungkin kita tidak dapat pastikan semua ahli beit mempunyai ciri tersebut,tetapi paling kurang biar ada seorang yang demikian.Hal ini bagi memastikan kita mempunyai sahabat-sahabat yang prihatin dengan kita untuk menegur sekiranya kita telah terleka dan alpa ataupun telah membuat apa-apa kesalahan dan kesilapan.

Ketahuilah,diri kita ini sebenarnya banyak dibentuk oleh sahabat-sahabat rapat dan suasana persekitaran kita.Di sana nanti,sudahlah kita telah berjauhan dengan ibu bapa,maka bersama-sama sahabat-sahabatlah kita membina dan membentuk jati diri kita.Jika sahabat itu buruk,maka kecenderungan kita ke arah itu juga luas dan begitulah sebaliknya.

4)BARANG-BARANG YANG PERLU DIBAWA

Jika di atas,saya menyentuh mengenai buku yang perlu dibawa.Kali ini,lebih umum.Apa yang saya sebutkan di sini hanyalah apa yang terpenting,yang betul-betul tiada atau sukar didapati di Mesir.Bagi bahan-bahan masakan dan minuman adalah seperti berikut:

  • Santan.Seeloknya bawalah yang serbuk agar dapat menjimatkan berat bagasi yang dibawa nanti
  • Halia.Walaupun di Mesir sudah ada serbuk halia tetapi ada sesetengah masakan memerlukan halia mentah.Bagaimanapun di pasar raya Carrefour Mesir ada juga menjualnya tetapi agak jauh dari tempat tinggal.
  • Serbuk kunyit dan kunyit
  • Kerisik
  • Serai.Ada juga dijual di rumah-rumah anak negeri.
  • Serunding
  • Serbuk sup,kurma,kari,gulai dll
  • Ajinomoto
  • Sos cili.Sos di Mesir agak berbeza dengan di Malaysia
  • Budu.Ada dijual di rumah-rumah negeri
  • Milo.Tiada dijual di Mesir.Yang ada hanyalah serbuk koko yang sebenarnya digunakan untuk membuat kek

Ini sahaja yang terlintas di fikiran sekarang ini.Mungkin ada bahan-bahan lain yang lupa saya senaraikan sebenarnya juga sukar untuk didapati di Mesir.Maka,rujuklah abang atau kakak yang lain yang sedang atau pernah belajar di Mesir.

Selain daripada itu,belilah baju sejuk di Malaysia siap-siap kerana pada bulan Disember nanti akan bermulanya musim sejuk.Baju sejuk yang terdapat di Mesir juga ada tetapi tidak banyak pilihan.Begitu dengan kasut dan sandal.

Akhir kata,saya ingin mengucapkan selamat berangkat kepada adik-adik yang akan pergi ke Mesir pada 14hb Sept ini.Galaskan bersama-sama adik-adik di samping bagasi-bagasi yang dibawa nanti,semua harapan Islam,negara,ibu-bapa,JPA dan rakyat Malaysia yang ingin melihat kita semua menjadi seorang doktor Muslim yang professional dan bertaqwa apabila kita pulang nanti.


Suasana Ramadhan Yang Dirindui

September 1, 2009

Kali ini kali ketiga saya menulis berkaitan Ramadhan.Bukan kerana kekeringan isu atau idea,tetapi mengambil kira bulan Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun.Jadi,rasanya elok kita sentiasa menilai dan memuhasabah diri kita sebelum Ramadhan kali ini berlalu.Alhamdulillah saya tiba di Malaysia pada hari Khamis lalu dan berada di negara tercinta ini hampir enam hari.Mulanya,terasa berat kaki untuk meninggalkan sekejap bumi Mesir.Mujurlah ia diubati dengan kegembiraan dan kerinduan bertemu dengan keluarga tersayang.

Sebenarnya saya sempat untuk merasai suasana Ramadhan di Mesir selama beberapa hari buat pertama kali.Saya cukup terpegun dengan suasananya yang berbeza sama sekali dengan di Malaysia.Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini mengenai suasana Ramadhan di Mesir.Di sana,menjelangnya 10 hari terakhir bulan Syaaban saya mula perasan mengenai persediaan yang telah dilakukan oleh masyarakat Mesir akan ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak.Rata-rata masjid didapati mula menukar karpet-karpet lama dengan yang baru.Ada juga masjid dicat dengan cat yang baru dan ditambah dengan peralatan-peralatan baru.

Di tepi-tepi jalan,para peniaga mula menjual begitu banyak sekali tamar(kurma kering),aprikot,pelbagai jenis kacang,kismis dan sebagainya.Paling terkejut apabila di Mesir ini,dijual begitu banyak fanus(tanglung) sempena bulan Ramadhan.Jika di Malaysia,ia hanya digunakan oleh masyarakat Cina.Ramai yang membelinya dan menggantungkannya di rumah masing-masing.

Apabila masuk sahaja malam pertama Ramadhan,kebanyakan orang Mesir saling mengucapkan “kullu sanah wa antum bikhoir” atau “kullu ‘aam wa antum bikhoir”.Saya tidak terkecuali diberikan ucapan itu sempena ketibaan Ramadhan oleh seorang pemandu teksi semasa saya berada di dalam teksinya.

Solat tarawih di sini pula kebanyakannya 8 rakaat.Ada yang habis cepat dan ada yang lama.Yang lam, imam biasanya membaca sebanyak satu maqra atau satu hizb untuk satu rakaat.Bagi yang pertama kali,memang akan rasa penat dan letih.Tapi,alhamdulillah kebanyakan imam di sini mempunyai suara-suara yang merdu.Umpamanya di tempat saya,suara imam,Dr Kholid Abu Syadi mempunyai suara yang seiras dengan Syeikh Misyari al-Afasi.Bila mendengarnya suaranya seakan-akan mendengar daripada kaset.Imam ini pula mudah tersentuh apabila membaca al-Quran ketika solat.Pernah beberapa kali beliau menangis apabila  membaca ayat berkenaan azab.Beliau juga seorang yang pandai berdoa.Kebanyakan orang Mesir akan menangis teresak-esak apabila beliau berdoa qunut ketika solat witir.Satu keadaan yang sukar didapati di Malaysia.Di Mesir ini juga,tiada selawat yang dilakukan antara solat tarawih dan kebiasaannya akan diadakan tazkirah selama 5 atau 10 minit selepas 4 rakaat solat tarawih.Solat tarawih akan disambung semula selepas berakhirnya tazkirah tersebut.

Menurut sahabat Mesir saya,Dr Muhammad,pada 10 malam terakhir,imam yang saya sebutkan di atas akan membuat solat tahajud bermula pukul 12 malam sehingga pukul 3 pagi.Beliau akan menghabiskan sebanyak 3 juzuk dalam solat tahajud  bagi satu malam.Selama 10 malam terakhir itu,satu al-Quran akan dikhatamkan dalam solat tahajud.Saya tidak dapat bayangkan berapa lama perlu berdiri dan bertahan.Tetapi jemaah di sana tetap penuh bahkan lebih ramai daripada awal dan pertengahan Ramdhan kerana mereka tahu dan sedar bahawa pada 10 malam terakhir terdapatnya Lailatul Qadr,malam yang jika beribadat padanya lebih baik daripada beribadat selama seribu bulan.

Jika di Malaysia,kita ada moreh selepas solat tarawih tetapi di Mesir di kebanyakan tempat mempunyai hidangan yang dipanggil “maaidatul rahman” iaitu hidangan berbuka yang disediakan untuk semua orang tidak kira sama ada kaya atau miskin,kecil ataupun tua.Maka bulan Ramadhan menjadi bulan rahmat kepada fakir miskin yang sebelum ini susah untuk mendapatkan makanan,di bulan ini mereka dijamu selama sebulan secara percuma.Ada juga pelajar-pelajar Malaysia yang malas untuk memasak untuk berbuka turut serta dalam merasai hidangan ini.Menurut sahabat saya,ada di setengah tempat yang menghidangkan ayam kentaki untuk hidangan berbuka ini.Bila difikirkan balik,konsep yang diamalkan oleh masyarakat Mesir lebih menepati sunnah nabi kerana pahala menyediakan makanan untuk orang lain berbuka puasa adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Saya pernah sebut dalam artikel sebelum ini bahawa bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran kerana ia diturunkan pada bulan ini.Di Mesir,mereka cukup memahami akan hal ini.Maka tidak hairanlah jika kita akan mendapati rata-rata masyarakat Mesir membawa al-Quran di mana-mana sahaja.Bayangkan adakah kita pernah ternampak di Malaysia seseorang yang membaca kitab al-Quran yang sederhana besarnya di dalam bas ataupun komuter?Mungkin ada yang pernah ternampak,tapi amat jarang sekali.Di Mesir,perkara sebegitu biasa dan menjadi amalan mereka.Mereka akan cuba mengkhatamkan sebanyak mungkin al-Quran.

Bagaimanapun di Malaysia,keadaan begitu berbeza sekali.Saya semasa hari-hari awal saya berada di Malaysia,saya sempat masuk ke Megamall di Kuantan.Terkejut sekali apabila sudah didendangkan lagu-lagu raya sedangkan Ramadhan masih di permulaan.Rata-rata orang mula sibuk memikirkan persediaan untuk Hari Raya Eidul Fitr.Jika pada awal Ramadhan masjid dipenuhi dengan jemaah semasa solat tarawih,tetapi di 10 malam terakhir tinggal saf untuk imam dan bilal sahaja serta beberapa kerat orang yang sudah pun pencen.Semuanya pada masa itu sudah tidak sabar-sabar lagi menantikan dengan kehadiran Eidul Fitr.Bulan Ramadhan seolah-olah sekadar satu jarak masa untuk menunggu hari raya.Ramai yang mengsia-siakan peluang yang terbentang luas untuk mendapat keampunan dan rahmat ALLAH pada bulan Ramadhan ini.

Oleh itu,saya menyeru diri ini dan siapa sahaja yang berkesedaran akan hal ini,supaya berusaha sedaya upaya untuk mengubah suasana ini agar masyarakat lebih memahami akan kepentingan dan kelebihan bulan Ramadhan ini melebihi segala bulan serta agar diri ini tidak lagi merindui suasana Ramadhan di negara orang.

.


Setahun Di Mesir:Satu Penilaian

June 22, 2009
Permandangan di Mesir yang diambil dari atas bangunan kediaman pelajar-pelajar tahun satu Universiti Kaherah

Permandangan di Mesir yang diambil dari atas bangunan kediaman pelajar-pelajar tahun satu Universiti Kaherah

Kali ini saya akan menulis satu tajuk khas buat diri saya sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan tahun satu di Mesir ini.Namun,bagi pembaca lain yang berada di luar Mesir(Jordan,UK,dll)atau di Malaysia sekalipun,anda sebenarnya boleh mengambil manfaat daripada isi-isi utama yang akan disebutkan dalam penulisan ini dan dipraktikkan mengikut situasi,tugas dan tempat anda masing-masing.Sebenarnya saya berada di sini baru 8 bulan,belum sampai lagi setahun.Namun saya mengganggap dan mencongakkan ia menjadi setahun kerana perjuangan saya sebagai pelajar tahun satu perubatan di sini hampir berakhir.Cuma berbaki satu sahaja lagi peperiksaan oral bagi subjek Physiology pada  27hb Jun ini bersamaan hari Sabtu.

Saya masih ingat lagi hari pertama mula-mula menjejakkan kaki di sini,7hb 10 2008,enam hari selepas Hari Raya Aidilfitri.Semuanya datang dengan pelbagai perasaan.Hiba kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman tercinta.Perasaan gembira juga ada kerana dapat merasai pengalaman menaiki kapal terbang kerana ada di kalangan kita yang baru kali pertama merasainya serta teruja dengan suasana baru yang akan ditempuh di Mesir ini.Ramai dalam kalangan kita dalam minggu pertama tidak dapat menyesuaikan diri lagi dengan keadaan di sini disebabkan pelbagai faktor dan suasana yang berlainan dengan Malaysia.Di sini udaranya dipenuhi dengan debu-debu,masyarakatnya jika dibandingkan dengan masyarakat Malaysia agak lebih kasar,makanannya juga berbeza,malah yang paling utama ialah bahasa percakapan untuk muamalah telah bertukar.Daripada kita yang selesa berbahasa dengan bahasa ibunda terpaksa bercakap dengan bahasa Arab ‘Ammi yang pada mulanya agak tergagap-gagap.

Bersama ahli beit,Haziq sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kaherah

Bersama ahli beit,Haziq sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kaherah

Baiklah,itulah serba sedikit pengalaman mengenai detik-detik awal saya berada di sini yang boleh dikongsikan bersama.Saya akan terus masuk kepada isi yang ingin disentuh iaitu membuat penilaian atau refleksi diri setelah hampir setahun berada di Mesir.Penilaian ini akan diukur berdasarkan kepada beberapa aspek yang akan disebutkan di bawah.Kenapa saya menulis satu tajuk khas untuk isu ini?Bagi saya,penilaian ini sangat-sangat perlu bagi kita yang sentiasa ingin berubah ke arah yang lebih baik.Melalui penilaian sebeginilah kita dapat mengukur di manakah kekurangan-kekurangan yang masih belum kita tampungkan serta menilai perkara-perkara yang telah kita peroleh selama berada di sini.Berikut ialah aspek yang perlu dinilai oleh diri kita masing-masing:

1.PENGUASAAN DALAM SUBJEK MEDIK

Saya memilih aspek ini sebagai aspek utama kerana melihat inilah tugas dan tanggungjawab yang paling utama yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin oleh saya dan sahabat-sahabat.Kebanyakan daripada kita ditaja oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) dan selebihnya ditaja oleh badan-badan lain seperti Majlis Agama Islam Selangor(MAIS),Yayasan Sabah serta ada juga yang datang dengan menggunakan duit sendiri.Walaupun kita berbeza dari sudut tajaan tetapi sebenarnya kita mempunyai satu matlamat yang sama dan jelas iaitu ingin memperoleh ijazah kedoktoran di sini dengan keputusan yang secemerlang mungkin pada akhir tahun enam nanti.Insya ALLAH.

Terdapat 4 subjek utama medik yang perlu diperlajari oleh kita pada tahun ini iaitu Anatomy,Physiology,Biochemistry,dan Histology.Insya ALLAH pada tahun depan juga kita akan mengambil subjek yang sama untuk sambungan subjek yang dipelajari pada tahun ini.Keempat-empat subjek ini agak berbeza antara satu sama lain.Namun demikian,kita harus sedar bahawa sebenarnya bidang Medik ini tidak ada subjek yang terpisah bersendirian.Semuanya berkait satu sama lain.Cumanya kita tidak sedar kerana masih belum tahu akan kepentingan setiap subjek yang telah dipelajari.Ia akan diketahui setelah kita masuk tahun empat yang mana kita semua diwajibkan membuat latihan klinikal di hospital.Tahun itu dikenali sebagai tahun klinikal atau lebih banyak disebut sebagai ‘”clinical year” oleh pelajar-pelajar medik.

Adakah kita semua telah betul-betul menguasai subjek medik bagi tahun satu ini?Persoalan ini perlu dilontarkan kepada diri kita masing-masing.Saya melihat kita terpecah kepada 3 kumpulan bagi persoalan ini.Pertama,mereka yang menguasai subjek medik sepanjang masa yakni sama ada sebelum atau selepas exam.Kumpulan ini boleh dinilai dan dilihat melalui penglibatan mereka dalam kuliah dan pencapaian dalam peperiksaan.Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini jika kita lihat,mereka menunjukkan minat yang sangat tinggi dan mendalam terhadap bidang medik ini.Mereka mempunyai sifat inkuiri yang begitu tinggi terhadap sesuatu pelajaran yang dipelajari.Mereka inilah yang menghidupkan suasana pembelajaran dalam kuliah  dengan bertanyakan pelbagai soalan kepada pensyarah.Tidak cukup dengan itu,mereka juga bertanya kepada pensyarah semasa di luar kuliah.Mereka juga sering berbincang dan membuat penerangan kepada sahabat-sahabat lain yang masih belum faham akan sesuatu topik.Kumpulan ini insya ALLAH jika mereka meneruskan sikap sedemikian,mereka akan terus cemerlang sama ada dalam peperiksaan atau semasa menjadi pegawai perubatan nanti.

Kumpulan kedua,mereka yang menguasai subjek medik hanya apabila hampirnya kepada peperiksaan.Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini mula belajar secara serius hanya apabila sedar akan dekatnya mereka kepada tarikh peperiksaan.Semasa di awal-awal tahun,mereka ini tidak begitu komited dengan pelajaran dan tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang medik ini.Sebahagian mereka datang lambat ke kuliah,sering tidur di dalam kuliah,tidak mengulang kaji pelajaran yang telah diajar,suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan suka ke hulu ke hilir meronda dan melawat kawasan-kawasan yang ada di Mesir ini.Namun,kumpulan ini apabila sedar akan hampirnya mereka dengan peperiksaan,barulah gaya hidup dan pembelajaran yang disebutkan di atas diubah.

Mulalah ada yang berjaga malam sampai 2 3 pagi,terperap dalam bilik 24 jam,dan malah ada yang tidak tidur langsung demi “cover” balik subjek-subjek yang masih belum lagi dikuasai.Akhirnya,mereka berjaya menguasai subjek medik dan mendapat keputusan yang cemerlang sama seperti kumpulan pertama.Dan diri ini merasakan lebih tergolong dalam kumpulan ini.Wallahu ‘alam.Namun adakah tiada beza antara kumpulan pertama dan kedua?Sudah tentu tidak tidak sama.Pada pengamatan dan kaca hemat saya,mereka yang tergolong dalam kumpulan kedua ini,mereka sebenarnya hanya mampu ingat akan pelajaran-pelajaran yang dipelajari paling lama sebulan selepas peperiksaan jika sekiranya tidak mengulang balik apa yang dipelajari.Hal ini kerana kumpulan ini kebanyakannya bukannya mengulang kaji pelajaran kerana betul-betul minat akan bidang medik tetapi kerana peperiksaan.Sedangkan kumpulan pertama akan sentiasa konsisten dalam mengulang kaji pelajaran kerana mereka ini mempunyai minat yang betul-betul mendalam terhadap bidang medik.

Kumpulan ketiga iaitu mereka yang tidak dapat menguasai subjek medik sehingga ke saat peperiksaan.Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini pada hemat saya,ciri-ciri mereka hampir sama dengan kumpulan kedua.Cumanya mereka tetap tidak dapat menguasai subjek medik sehingga ke saat peperiksaan.Saya lihat beberapa faktor,antaranya lemah ingatan dan ketidakmampuan untuk mengaitkan pelajaran yang dipelajari antara satu sama lain,tidak melakukan “study group”,dan malu bertanya kepada pensyarah dan kawan-kawan akan pelajaran yang tidak faham.Mereka lebih suka membiarkan mereka di dalam keadaan jahil(tidak tahu) akan pelajaran,daripada bertanya kepada yang lebih mengetahui.Mungkin inilah sebab utama bagi masalah kumpulan ini.

Akhirnya,kita perlu sedar bahawa kita semua datang ke sini dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang cemerlang yang menunjukkan bahawa kita semua tergolong dalam pelajar yang memiliki potensi yang tingi.Yang membezakan kita di sini mungkin disebabkan oleh cara belajar dan sikap-sikap yang tidak bagus yang tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang yang bergelar pelajar medik.Tentukanlah sendiri anda berada di dalam kumpulan yang mana.

2.PENGUASAAN DALAM BERBAHASA ARAB

Aspek yang kedua ini juga tidak kurang pentingnya juga yang harus kita perhalusi.Apabila berbicara soal bahasa Arab ianya akan terpecah kepada dua iaitu fusha(bahasa standard) dan ‘ammi(bahasa pasar).Walaupun ada persamaan antaranya namun perbezaan antara keduanya lebih banyak.Sebab itulah salah seorang sahabat-sahabat Mesir saya antaranya Dr Muhammad dan Abu Talib pernah menyebut bahawa orang Mesir ini tidak mampu untuk memahami bahasa fusha dengan baik terutamanya bagi mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi.Banyak perkataan yang mereka tidak tahu.Sebab itulah mahu tidak mahu,kita mesti menguasai bahasa Arab ‘Ammi di samping Arab Fusha bagi membolehkan kita bermuamalah dengan baik dengan masyarakat Mesir.Satu perkara lagi yang perlu kita sedar bahawa masyarakat Mesir ini lebih suka bercakap dengan bahasa ‘Ammi daripada bahasa fusha itu sendiri sekalipun mereka yang menguasai bahasa fusha dengan baik.

Saya kira setelah berada di Mesir hampir setahun ini,kita sepatutnya mampu menguasai bahasa Arab dalam 50-60%.Namun saya lihat ramai juga di kalangan kita yang tidak mencapai target itu terutamanya bagi mereka yang tidak mempelajari bahasa Arab di sekolah sebelum ini.Tetapi alasan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana kita telah mempunyai contoh daripada senior-senior yang tidak pun mempelajari bahasa Arab di sekolah tetapi masih mampu menguasainyaapabila tiba di sini.Semuanya ini berkait rapat dengan kemahuan kita sama ada ingin menguasai bahasa Arab atau sebaliknya.

Sebenarnya saya pernah menulis artikel berhubung hal ini dalam discussion MEP 08 Friendster Group.Untuk membacanya,klik di sini.Masalah berhubung kelemahan berbahasa Arab ini mula timbul pada pengamatan saya apabila kerajaan Malaysia membuat perjanjian MoU dengan kerajaan Mesir untuk menempatkan pelajar-pelajar perubatan Malaysia di Universiti Kaherah dalam satu kelas yang khusus untuk pelajar Malaysia sahaja dalam erti kata lain tiada orang Arab.Bahasa pengantaran untuk sesi kuliah juga ditukar daripada separuh bahasa Arab separuh bahasa Inggeris(untuk kuliah pelajar Arab) kepada seratus peratus bahasa Inggeris.Hal inilah sebenarnya yang menyebabkan penguasaan dan perkembangan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar Malaysia mula merosot bermula daripada batch tahun tiga tahun ini dan terus menular kepada batch-batch yang datang selepasnya yakni tahun dua dan tahun satu.Mereka merasakan bahawa bahasa Arab ini tidak begitu penting kerana pembelajaran di kuliah adalah dalam bahasa Inggeris.Tetapi sebenarnya mereka lupa bahawa bahasa Arab ini amat penting dan diperlukan untuk kita semasa tahun klinikal nanti.Kita semua nanti pada tahun tersebut akan berurusan dengan pesakit-pesakit Arab yang saya pasti kebanyakannya tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Antara beberapa sebab yang menyebabkan kita begitu lemah dalam bahasa Arab ialah kurangnya kita bermuamalah dengan masyarakat Arab.Kebanyakan daripada kita masih lagi takut dan malu untuk bercakap.Bimbang nanti ada yang tersalah cakap.Sebenarnya sikap-sikap sebegini perlu dikikis kerana ia memjadi penghalang utama kita untuk menguasai sesuatu bahasa.Kita sepatutnya tidak takut untuk bercakap dan jikalau tersalah cakap,tidak mengapa kerana ia satu perkara lumrah dalam kita mempelajari sesuatu bahasa yang lain.Yang penting perbetulkan kesilapan itu.

Selain itu,saya lihat kebanyakan daripada kita tidak mempunyai sahabat-sahabat dalam kalangan orang Mesir.Saya sendiri mengenali beberapa orang Mesir dan bersahabat dengan mereka.Memang ada yang mengatakan perlu berhati-hati dalam bersahabat dengan orang Mesir,bimbang nanti akan diambil kesempatan.Namun bukan semua orang Mesir begitu.Ramai juga  yang ikhlas dan baik berdasarkan pengalaman saya bersahabat dengan mereka.Apa yang penting kita pilihlah orang-orang Mesir yang baik menjadi sahabat kita.Paling mudah pilihlah sahabat yang sentiasa kita lihat mukanya di masjid kerana itu sebenarnya salah satu petanda bahawa dia merupakan orang yang baik.

Kenapa saya menyebut hal ini?Hal ini kerana melalui sahabat Mesir inilah kita boleh mempertingkat kemampuan kita dalam berbahasa Arab lebih-lebih lagi apabila sahabat kita itu seorang yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik.Kita boleh bertanya kepadanya mengenai perkataan-perkataan yang tidak difahami dan yang ingin digunakan untuk bermuamalah dengan masyarakat Mesir.Cara ini langsung tidak memakan kos jika dibandingkan dengan kita mengambil kelas-kelas Arab yang memakan kos yang agak mahal.

Akhir sekali,penguasaan bahasa Arab dengan baik merupakan kunci kepada untuk kita menguasai ilmu-ilmu agama.Dalam erti kata lain,kita akan mampu memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis dengan baik serta dapat pula membaca kitab-kitab karangan para ulama.Tidak teringinkah kita ke arah itu?

Berada di sekitar kawasan Universiti Kaherah

Berada di sekitar kawasan Universiti Kaherah

3.PEMBENTUKAN AKHLAK DAN PERIBADI

Aspek terakhir ini tidak patut kita lupa untuk dinilai.Hidup di Mesir ini bukan sahaja sekadar mempelajari ilmu-ilmu perubatan dan bahasa Arab,tetapi kita juga mempelajari dan memupuk serta mendidik akhlak-akhlak yang baik dalam diri kita.Saya mengakui bahawasanya dengan suasana atau biah yang ada di Mesir ini tidak mampu membentuk kita berakhlak dengan akhlak baik.Hal ini kerana kita melihat rata-rata orang Mesir berakhlak dengan akhlak jahiliah sama ada dalam jual beli,perkahwinan dan hubungan sesama mereka.Namun,hal ini tidak sepatutnya menjadi sebab yang menjadi penghalang kepada kita untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia bahkan ia patut menjadi semangat dan cabaran kepada kita untuk berakhlak mulia dan beristiqamah dengannya.

Hidup di sini sebenarnya melatih kita untuk berdikari(berdiri di atas kaki sendiri).Kita di sini tinggal berjauhan dengan keluarga.Maka segala aktiviti harian,kita semua yang uruskan.Jikalau dulu kita tidak pernah langsung memasak,hari ini kita terpaksa memasak sendiri di rumah mengikut jadual-jadual yang telah ditetapkan.Jikalau dulu kita membiarkan tugas membasuh baju dan melipat kain kepada ibu kita,hari ini kita yang lakukan semua itu.

Perkara ini sebenarnya membentuk diri kita menjadi lebih matang dan dewasa dalam kehidupan.Kita mula sedar akan tanggungjawab kita.Namun kita perlu bertanya juga:sejauh manakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita di sini?Tanggungjawab sebagai ahli beit(ahli rumah) sejauh manakah kita telah laksanakan dengan sebaik mungkin?Jika kita masih lagi malas dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai ahli beit umpamanya memasak,membersih rumah,menjaga kebersihan rumah,membasuh pinggan dan sebagainya,kita sepatutnya membuat muhasabah dan memperbaiki diri  agar perkara-perkara yang disebutkan tadi diperbaiki pada tahun depan.Ahli beit yang baik sebenarnya merupakan faktor yang penting  kepada pembentukan peribadi dan akhlak ahli beit yang yang lain.Oleh itu,mulakanlah dengan diri kita dahulu untuk menjadi seorang ahli beit yang bertanggungjawab dan lebih mengambil berat akan kebajikan ahli beit  pada tahun depan.

Kesimpulan:

Akhirnya,pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan kepada sahabat-sahabat yang akan pulang ke Malaysia pada tahun ini “Selamat Pulang Ke Tanah Air Dan Bercuti Di Sana”.Ambillah manfaat sebaik mungkin cuti selama 3 bulan ini.Semoga kita berjumpa lagi untuk sesi akademik baru.Insya ALLAH.Kepada sahabat yang tidak pulang ke Malaysia,ambillah kesempatan cuti ini  juga untuk merebut peluang-peluang yang ada di Mesir ini.Cuba dapatkan bahasa Arab sebanyak mungkin sepanjang cuti nanti.Akhir sekali,semoga kita semua merenung terhadap perkara-perkara yang telah saya sebutkan dalam penulisan yang panjang ini dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun depan.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 38 other followers