Kepalsuan Hadis Kelebihan Tarawih Setiap Malam

August 6, 2011

Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu. 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Teruskan pembacaan


10 Perkara Ketika Ramadhan:Katakan Tidak

July 19, 2011

“Sia-sialah dan rugilah sesiapa yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa ke atasnya” (HR Bukhori)

1)Solat Maghrib di rumah

2)Memenuhkan perut (dengan makanan secara berlebih-lebihan) ketika berbuka

3)Meninggalkan solat Tarawih di masjid

4)Tidak berdoa ketika berbuka

5)Tidak melakukan muhasabah setiap hari

6)Melakukan perkara-perkara melalaikan (lagho) dan berlebihan dalam bergurau sepanjang berpuasa

7)Tidur selepas berbuka dan sebelum Isyak

8)Lemah dan pasif pada siang hari Ramadhan

9)Berlebihan ketika membelikan makanan dan minuman (untuk berbuka)

10)Menonton program-program televisyen yang tidak baik dan meruntuhkan nilai akhlak.

Rujukan: الى عشاق رمضان, محمد سعيد مرسى, مؤسسة اقرأ

 

 


Mengimbas Ruh Ibadah Umrah(Siri Pertama)

October 17, 2010

Kali ini insya Allah saya akan berkongsi dengan pembaca mengenai sebahagian daripada perjalanan ibadah Umrah saya pada bulan Ramadhan yang lepas.Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil nilai-nilai pengajaran yang sangat banyak terkandung dalam ibadah ini.Harapannya juga agar artikel ini dapat membakar semangat kepada semua untuk melaksanakan ibadah Umrah dan lebih-lebih lagi ibadah Haji pada usia yang muda.Dalam siri kali ini,saya akan fokuskan penulisan ini tentang perjalanan dan kehidupan saya di bumi Mekah Mukarramah sahaja.Insya Allah pada siri akan datang,saya akan ceritakan pula mengenai perjalanan di bumi Madinah Nabawiyyah.

Sebenarnya amatlah beruntung bagi mereka yang telah menjejakkan kaki di dua tanah Haram iaitu Mekah dan Madinah.Semua ini adalah daripada izin Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita menjadi tetamu-Nya di sana.Ada dalam kalangan sahabat saya yang tidak dapat ke sana kerana masalah-masalah yang berlaku pada saat-saat akhir di mana mereka pada masa itu sudah pun berada di Lapangan Terbang Kaherah menunggu pesawat untuk berlepas ke Jeddah,Arab Saudi.Maka,bagi mereka yang telah pun selesai menunaikan ibadah Umrah ataupun Haji,mestilah bersyukur kepada Allah dengan sebenar-benar syukur,bukan sekadar pada lisan tapi yang lebih penting pada perubahan amalan dan perbuatan ke arah yang lebih baik. Teruskan pembacaan


Ramadhan:Masa Untuk Berubah

August 11, 2010

*Artikel lepas yang dicadangkan untuk pembacaan di bulan Ramadhan al-Mubarak ini.

Hari ini masuk hari kedua kita berpuasa.Di Mesir,kegembiraan rakyatnya menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak jelas terpancar apabila kebanyakan mereka mengambil cuti hari pertama Ramadhan semalam.Semalam 2 buah kedai buku terkenal di Mesir;Maktabah Al-’Ilam dan Maktabah Darus Salam tutup.Saya agak kepenatan petang semalam kerana saya bergerak ke kedua-dua buah maktabah ini untuk mencari kitab Asas fi Tafsir karangan Said Hawa.Kitab ini dipesan oleh abang ipar saya yang merupakan graduan Universiti al-Azhar.Mudah-mudahan ada pahala di sisi ALLAH dengan usaha yang kecil ini.

Bagi orang yang beriman,kegembiraan mereka menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak bukan sekadar mengambil cuti pada hari pertama Ramadhan atau memutarkan lagu-lagu mengenai Ramadhan atau mengirim email dan sms ucapan salam Ramadhan bahkan ada perkara yang lebih besar daripada itu semua.Firman ALLAH Azza Wajal dalam surah al-Baqarah ayat 183:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” Teruskan pembacaan


Sediakan Bekal Sebelum Ramadhan Menjelma

July 30, 2010

*Artikel lepas yang dicadangkan untuk pembacaan sempena kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Beberapa hari lepas,kita dikejutkan dengan pemergian Ustaz Asri Ibrahim yang merupakan ketua kumpulan nasyid Rabbani.Takziah saya ucapkan kepada keluarga arwah dan sahabat-sahabatnya.Sesungguhnya kita adalah kepunyaan ALLAH dan kita semua pasti akan dikembalikan kepada-Nya suatu masa nanti.Kumpulan Rabbani merupakan antara kumpulan nasyid terawal yang ditubuhkan pada era 90-an di samping kumpulan Raihan dan Hijjaz.Walaupun minat saya terhadap kumpulan Rabbani tidak sehebat minat saya kepada Raihan dan Hijjaz,namun ada beberapa lagu yang mendapat tempat di hati ini,antaranya lagu “Pergi Tak Kembali”,”Intifadah”,”Selimut Putih” dan “Musafir Kelana”.Saya kira ramai juga yang minat akan alunan kemerduan lagu ini di samping liriknya yang menginsafkan kita semua apabila mendengarnya.Mudah-mudahan semua lagu yang disebutkan di atas menjadi amal jariah bagi arwah yang menyanyikan untuk misi dakwah kepada umat Islam.

Alhamdulillah,tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk kita memasuki bulan Ramadhan Al-Mubarak,penghulu segala bulan,bulan yang penuh keberkatan dan rahmat ALLAH Azza Wajal.Mudah-mudahan kita semua diberi kesempatan untuk merasai Ramadhan pada tahun ini.Insya ALLAH. Teruskan pembacaan


Solat Istikharah

January 1, 2010

Tunaikanlah solat walau di mana kita berada

Pernahkah anda keliru dan ragu-ragu dalam membuat keputusan dalam kehidupan bak kata pepatah ditelan mati emak, diluah mati bapak?Sedangkan keputusan itu bakal mengubah segala-galanya kepada diri anda.Jika tersilap membuat pilihan itu berkemungkinan kita akan menyesal seumur hidup.Apakah jalan penyelesaian kepada kekeliruan in?Ingatlah sebenarnya segala perkara yang telah dan akan berlaku sebenarnya kesemuanya berada dalam pengetahuan dan kehendak ALLAH Azza Wajalla.Maka,kita sebagai hamba kepada-Nya,jika sekiranya menghadapi kekeliruan dalam membuat tindakan,maka lakukanlah solat istikharah dan berdoa kepada-Nya.Mudah-mudahan dalam setiap tindakan kita akan mendapat petunjuk dan kemudahan daripada-Nya.Anjuran menunaikan solat istikaharah ini berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w: Teruskan pembacaan


Kesedihan Meninggalkan Ramadhan Diubati Dengan Eidul Fitr

September 19, 2009

Hari ini berkemungkinan hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa namun keputusannya hanya akan diketahui secara rasmi hari ini selepas kaedah Rukyatul Hilal(melihat anak bulan) dilakukan di pelbagai tempat di Malaysia.Jika sekiranya hari ini yang terakhir bermakna tiada lagi malam bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan tawaran yang begitu lumayan yang dijanjikan ALLAH kepada kita semua iaitu akan diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Sebagai seorang muslim dan mukmin yang mengetahui dan menghayati tentang ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan ALLAH sudah pastinya akan berasa sayu dan sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.Bagaimana mungkin seseorang itu mahu menolak pemberian harta;kereta,rumah,emas,pakaian berjenama daripada sultan atau raja yang diberikan setiap hari selama sebulan kepadanya?Begitu juga dengan Ramadhan,bagaimana mungkin seseorang mukmin tidak sayu atau terasa terlepas dan berpisah dengan ganjaran-ganjaran yang sebenarnya lebih besar daripada tawaran harta yang disebutkan tadi daripada Sang Pencipta seluruh makhluk dan alam ini.

Ramadhan kali ini sudah tentu memberikan pelbagai makna dan kesan kepada diri kita semua.Ada yang bertambah-tambah imannya,atau sama sahaja imannya dengan bulan-bulan sebelum Ramadhan atau yang lebih merugikan bertambah kurang imannya pada bulan yang mulia ini.Marilah kita merenung sejenak satu hadis yang masyhur diriwayatkan oleh al-Imam Bukhori:

“Sia-sialah dan rugilah sesiapa yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa ke atasnya”

Hadis ini meyebutkan secara jelas bahawa rugilah bagi mana-mana individu muslim yang diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk hidup pada bulan Ramadhan tahun ini tetapi tidak melakukan amal soleh yang menyebabkan dirinya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.Mungkin di dunia ini kita tidak dapat merasai betapa besarnya rahmat ALLAH yang menawarkan keampunan ke atas dosa-dosa kita yang telah lalu.Tetapi bayangkanlah sekiranya kita di dunia ini tidak mendapat apa-apa habuan dunia,kita seorang yang papa kedana,hidup sebatang kara dan mati tanpa orang ketahui pun tetapi kita pulang kepada ALLAH di akhirat kelak dengan diampunkan dosa-dosa kita,maka itu sesuatu nikmat yang cukup besar yang tidak terbanding nilainya yang lebih baik dari segala isi dunia.

Maka kita yang menyedari akan hakikat ini,marilah kita terus berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diampunkan dosa kita pada akhir Ramadhan ini seeloknya dengan doa yang diajarkan nabi iaitu “ALLAHUMMA INNKA AFUWWUN TUHIBBUL AFWA FA’FU ‘ANNi”(yang bermaksud Ya ALLAh,sesungguhnya engkau Maha Pemaaf,sukakan kemaafan maka maafkanlah aku).

Alhamdulillah,ALLAH Azza Wajalla yang bersifat Maha Mengasihani dan Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui akan hakikat mukmin sejati yang akan berasa sedih dengan pemergian Ramadhan,dikurniakan olehNya satu hari yang dinamakan Eidul Fitr bagi mengubati rasa sedih dan pilu di hati para mukminin.Maka,pada hari raya inilah orang yang beriman akan raikan sebagai hari kemenangan kerana telah berjaya membina benteng kukuh bagi menahan diri dari semua perkara yang boleh membatalkan puasa dan mencacatkan termasuklah perkara halal yang  dibenarkan pada bulan lain untuk dilakukan tetapi pada bulan Ramadhan dilarang iaitu makan,minum dan bersetubuh dengan isteri.

Bahkan hari raya sebenarnya bukanlah hari untuk kita bersedih sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian lagu-lagu raya,cerita-cerita raya di tv bahkan irama takbir raya negara kita yang menyedihkan sebaliknya pada hari raya ini kita dibenarkan untuk bergembira dan meraikan hari raya dengan kadar-kadar yang dibenarkan oleh syarak.Hal ini di mana nabi SAW pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : “Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari)

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di bawah ini beberapa amalan sunnah yang diamalkan oleh nabi s.a.w. semasa hari raya Eidul Fitr dan di bulan Syawal,antaranya:

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5)Memakai pakaian terbaik yang ada:

Walaupun demikian,perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal

6)Menukar jalan ke tempat solat(balik dan pergi)

Ia berdasarkan hadis dari Jabir r.a. yang menyebut bahawa nabi s.a.w. biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya(Riwayat Bukhori)

7)Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi

8)Berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal

Hal ini berdasarkan hadis nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam sohihnya,kitab al-Shiyam,hadis ke 1164:

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ’chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Semoga kita semua meninggalkan Ramadhan kali ini dengan membawa ruhnya ke dalam bulan-bulan yang lain dan terus beristiqamah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan pada bulan Ramadhan.Akhirnya,saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITR 1430H kepada semua pelawat yang melayari blog ini.TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM.Semoga ALLAH menerima amalan kita dan amalan kamu semua.

Sumber:

1.Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

2.Buku ‘Menyambut Ramadhan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasululullah s.a.w.’ oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus





Suasana Ramadhan Yang Dirindui

September 1, 2009

Kali ini kali ketiga saya menulis berkaitan Ramadhan.Bukan kerana kekeringan isu atau idea,tetapi mengambil kira bulan Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun.Jadi,rasanya elok kita sentiasa menilai dan memuhasabah diri kita sebelum Ramadhan kali ini berlalu.Alhamdulillah saya tiba di Malaysia pada hari Khamis lalu dan berada di negara tercinta ini hampir enam hari.Mulanya,terasa berat kaki untuk meninggalkan sekejap bumi Mesir.Mujurlah ia diubati dengan kegembiraan dan kerinduan bertemu dengan keluarga tersayang.

Sebenarnya saya sempat untuk merasai suasana Ramadhan di Mesir selama beberapa hari buat pertama kali.Saya cukup terpegun dengan suasananya yang berbeza sama sekali dengan di Malaysia.Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini mengenai suasana Ramadhan di Mesir.Di sana,menjelangnya 10 hari terakhir bulan Syaaban saya mula perasan mengenai persediaan yang telah dilakukan oleh masyarakat Mesir akan ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak.Rata-rata masjid didapati mula menukar karpet-karpet lama dengan yang baru.Ada juga masjid dicat dengan cat yang baru dan ditambah dengan peralatan-peralatan baru.

Di tepi-tepi jalan,para peniaga mula menjual begitu banyak sekali tamar(kurma kering),aprikot,pelbagai jenis kacang,kismis dan sebagainya.Paling terkejut apabila di Mesir ini,dijual begitu banyak fanus(tanglung) sempena bulan Ramadhan.Jika di Malaysia,ia hanya digunakan oleh masyarakat Cina.Ramai yang membelinya dan menggantungkannya di rumah masing-masing.

Apabila masuk sahaja malam pertama Ramadhan,kebanyakan orang Mesir saling mengucapkan “kullu sanah wa antum bikhoir” atau “kullu ‘aam wa antum bikhoir”.Saya tidak terkecuali diberikan ucapan itu sempena ketibaan Ramadhan oleh seorang pemandu teksi semasa saya berada di dalam teksinya.

Solat tarawih di sini pula kebanyakannya 8 rakaat.Ada yang habis cepat dan ada yang lama.Yang lam, imam biasanya membaca sebanyak satu maqra atau satu hizb untuk satu rakaat.Bagi yang pertama kali,memang akan rasa penat dan letih.Tapi,alhamdulillah kebanyakan imam di sini mempunyai suara-suara yang merdu.Umpamanya di tempat saya,suara imam,Dr Kholid Abu Syadi mempunyai suara yang seiras dengan Syeikh Misyari al-Afasi.Bila mendengarnya suaranya seakan-akan mendengar daripada kaset.Imam ini pula mudah tersentuh apabila membaca al-Quran ketika solat.Pernah beberapa kali beliau menangis apabila  membaca ayat berkenaan azab.Beliau juga seorang yang pandai berdoa.Kebanyakan orang Mesir akan menangis teresak-esak apabila beliau berdoa qunut ketika solat witir.Satu keadaan yang sukar didapati di Malaysia.Di Mesir ini juga,tiada selawat yang dilakukan antara solat tarawih dan kebiasaannya akan diadakan tazkirah selama 5 atau 10 minit selepas 4 rakaat solat tarawih.Solat tarawih akan disambung semula selepas berakhirnya tazkirah tersebut.

Menurut sahabat Mesir saya,Dr Muhammad,pada 10 malam terakhir,imam yang saya sebutkan di atas akan membuat solat tahajud bermula pukul 12 malam sehingga pukul 3 pagi.Beliau akan menghabiskan sebanyak 3 juzuk dalam solat tahajud  bagi satu malam.Selama 10 malam terakhir itu,satu al-Quran akan dikhatamkan dalam solat tahajud.Saya tidak dapat bayangkan berapa lama perlu berdiri dan bertahan.Tetapi jemaah di sana tetap penuh bahkan lebih ramai daripada awal dan pertengahan Ramdhan kerana mereka tahu dan sedar bahawa pada 10 malam terakhir terdapatnya Lailatul Qadr,malam yang jika beribadat padanya lebih baik daripada beribadat selama seribu bulan.

Jika di Malaysia,kita ada moreh selepas solat tarawih tetapi di Mesir di kebanyakan tempat mempunyai hidangan yang dipanggil “maaidatul rahman” iaitu hidangan berbuka yang disediakan untuk semua orang tidak kira sama ada kaya atau miskin,kecil ataupun tua.Maka bulan Ramadhan menjadi bulan rahmat kepada fakir miskin yang sebelum ini susah untuk mendapatkan makanan,di bulan ini mereka dijamu selama sebulan secara percuma.Ada juga pelajar-pelajar Malaysia yang malas untuk memasak untuk berbuka turut serta dalam merasai hidangan ini.Menurut sahabat saya,ada di setengah tempat yang menghidangkan ayam kentaki untuk hidangan berbuka ini.Bila difikirkan balik,konsep yang diamalkan oleh masyarakat Mesir lebih menepati sunnah nabi kerana pahala menyediakan makanan untuk orang lain berbuka puasa adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Saya pernah sebut dalam artikel sebelum ini bahawa bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran kerana ia diturunkan pada bulan ini.Di Mesir,mereka cukup memahami akan hal ini.Maka tidak hairanlah jika kita akan mendapati rata-rata masyarakat Mesir membawa al-Quran di mana-mana sahaja.Bayangkan adakah kita pernah ternampak di Malaysia seseorang yang membaca kitab al-Quran yang sederhana besarnya di dalam bas ataupun komuter?Mungkin ada yang pernah ternampak,tapi amat jarang sekali.Di Mesir,perkara sebegitu biasa dan menjadi amalan mereka.Mereka akan cuba mengkhatamkan sebanyak mungkin al-Quran.

Bagaimanapun di Malaysia,keadaan begitu berbeza sekali.Saya semasa hari-hari awal saya berada di Malaysia,saya sempat masuk ke Megamall di Kuantan.Terkejut sekali apabila sudah didendangkan lagu-lagu raya sedangkan Ramadhan masih di permulaan.Rata-rata orang mula sibuk memikirkan persediaan untuk Hari Raya Eidul Fitr.Jika pada awal Ramadhan masjid dipenuhi dengan jemaah semasa solat tarawih,tetapi di 10 malam terakhir tinggal saf untuk imam dan bilal sahaja serta beberapa kerat orang yang sudah pun pencen.Semuanya pada masa itu sudah tidak sabar-sabar lagi menantikan dengan kehadiran Eidul Fitr.Bulan Ramadhan seolah-olah sekadar satu jarak masa untuk menunggu hari raya.Ramai yang mengsia-siakan peluang yang terbentang luas untuk mendapat keampunan dan rahmat ALLAH pada bulan Ramadhan ini.

Oleh itu,saya menyeru diri ini dan siapa sahaja yang berkesedaran akan hal ini,supaya berusaha sedaya upaya untuk mengubah suasana ini agar masyarakat lebih memahami akan kepentingan dan kelebihan bulan Ramadhan ini melebihi segala bulan serta agar diri ini tidak lagi merindui suasana Ramadhan di negara orang.

.


Ramadhan:Masa Untuk Berubah

August 23, 2009

Hari ini masuk hari kedua kita berpuasa.Di Mesir,kegembiraan rakyatnya menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak jelas terpancar apabila kebanyakan mereka mengambil cuti hari pertama Ramadhan semalam.Semalam 2 buah kedai buku terkenal di Mesir;Maktabah Al-’Ilam dan Maktabah Darus Salam tutup.Saya agak kepenatan petang semalam kerana saya bergerak ke kedua-dua buah maktabah ini untuk mencari kitab Asas fi Tafsir karangan Said Hawa.Kitab ini dipesan oleh abang ipar saya yang merupakan graduan Universiti al-Azhar.Mudah-mudahan ada pahala di sisi ALLAH dengan usaha yang kecil ini.

Bagi orang yang beriman,kegembiraan mereka menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak bukan sekadar mengambil cuti pada hari pertama Ramadhan atau memutarkan lagu-lagu mengenai Ramadhan atau mengirim email dan sms ucapan salam Ramadhan bahkan ada perkara yang lebih besar daripada itu semua.Firman ALLAH Azza Wajal dalam surah al-Baqarah ayat 183:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”

Ayat di atas menjelaskan secara jelas tujuan utama kenapa kita semua diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan.Ayat ini dimulakan dengan seruan atau panggilan ke atas untuk orang-orang beriman.Maka,sesiapa sahaja yang mengaku beriman sudah pastinya akan terpanggil dengan seruan ini.Oleh itu,kita sebagai orang yang mengaku beriman mestilah medengar,melihat,membaca dan melaksanakan titah perintah ALLAH Azza Wajal seterusnya kepada kita dalam ayat di atas iaitu kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan.Adakah dalam ayat di atas ALLAH menyuruh kita berpuasa sahaja?Tidak!Cuba kita baca dan hayati elok-elok.Terdapat titah perintah ALLAH yang lebih besar daripada berpuasa itu sendiri iaitu ALLAH Azza Wajal memerintahkan kita agar menjadi orang bertaqwa hasil daripada puasa itu sendiri.Inilah titah perintah yang sukar dilaksanakan oleh kita semua.Betapa ramai yang berpuasa tetapi dalam masa yang sama masih lagi melakukan maksiat dan dosa kepada ALLAH Azza Wajal.

Sebab itulah Syeikh Said Hawa ketika mentafsirkan lafaz “la’alla” di atas ianya membawa maksud ta’kid yakni “kamu mesti atau pasti” akan menjadi orang-orang bertaqwa.Sebahagian daripada mufassirin mentafsirkan lafaz “la’alla” dengan maksud ‘mudah-mudahan’.Tetapi Syeikh Said Hawa agak berbeza dari sudut penafsirannya.Beliau mengatakan jika kita semua tidak dapat menjadi orang bertaqwa pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan selepasnya,maka tiada puasa bagi kita.Dalam erti kata lain,kita sebenarnya tidak berpuasa.Setelah direnung,ada betul juga penafsiran ini berdasarkan hadis-hadis nabi s.a.w. di bawah ini:

Rugilah sesiapa yang mendapat Ramadhan tetapi tidak diampunkan oleh ALLAH Azza Wajal ke atasnya“(Riwayat Bukhori)

Pernah suatu ketika ketika Nabi Muhammad hendak naik tangga ke atas mimbar,baginda berkata,”amin” pada tangga pertama.Kemudian baginda melangkah ke tangga kedua baginda berkata lagi “amin”.Kemudian baginda melangkah lagi ke tangga ketiga baginda mengulangi lagi “amin”.

Maka para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin,(sebanyak tiga kali) wahai Rasulullah?” Nabi Muhammad bersabda:

“Telah datang malaikat Jibril kepadaku dan ia berkata : ‘Celakalah seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.

Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celakalah seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.

Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celakalah seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.”[Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644].

Maka,daripada apa yang disebutkan di atas menjadi kewajipan kita untuk berusaha menjadi orang-orang yang bertaqwa di bulan Ramadhan ini.Dalam erti kata lain,di bulan Ramadhan inilah masanya untuk kita berubah.Berubah daripada seorang yang lemah imannya kepada teguh imannya,daripada amalan soleh yang sedikit kepada amalan soleh yang berlipat kali ganda.Maka di bawah ini saya menggariskan beberapa perubahan besar yang perlu dilaksanakan oleh diri kita semua:

1)SOLAT

Inilah perkara pertama sekali yang perlu diubah kerana ianya merupakan binaan asas kedua terpenting kepada diri seseorang muslim selepas syahadatain(mengucap dua kalimah syahadah) berdasarkan hadis nabi s.a.w yang masyhur dalam kalangan kita:

Islam dibina atas lima perkara:penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH,mendirikan solat…ila akhir hadis”(Muttafaqun Alaih)

Maka,di bulan Ramadhan ini,pastikan 5 solat fardhu kita dilaksanakan dengan sebaik mungkin iaitu mestilah ditunaikan secara berjemaah di masjid.Lebih-lebih lagi solat fajar atau subuh kerana pada bulan-bulan sebelum ini solat inilah yang sukar dilaksanakn oleh kita secara berjemaah.Maka,kesempatan kita bangun bersahur mestilah digunakan sebaik mungkin dengan tidak tidur selepas sahur.Perbuatan tidur selepas bersahur ini satu perbuatan yang buruk kerana disebabkannya ramai yang terlepas berjemaah solat Subuh di masjid.Sebenarnya di sini ada beberapa masalah antaranya ada sesetengah daripada kita yang bersahur terlalu awal sehingga menyebabkan rasa mengantuk dan terlelap akibat kepenatan menunggu waktu subuh masuk.

Sebenarnya hal ini bercanggah dengan sunnah nabi s.a.w yang menyuruh kita melewatkan bersahur berdasarkan hadis sohih riwayat Bukhori yang mana sahabat menceritakan bahawa kadar jarak masa antara sahur yang dilakukan nabi s.a.w. dengan azan ialah dengan kadar 50 ayat(yakni jarak masa menghabiskan pembacaan 50 ayat al-Quran secara biasa).

Begitu juga dengan solat sunat,jika sebelum ini kita malas untuk menunaikannya,maka hendaklah kita memperbanyak solat-solat sunat.Jangan sekali-sekali kita terlepas melaksanakan solat tarawih.Saya agak terkejut apabila salah seorang rakan saya tidak menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadhan di masjid semalam kerana tidur di rumah.Semoga ALLAH memberi hidayah dan taufik kepadanya.Adalah lebih cantik jika kita tidak terlepas melaksanakan solat sunat rawatib sebanyak 12 rakaat.Dalam erti kata lain,perbanyakkan sebanyak-banyak mungkin solat-solat sunat seperti solat tahajjud,solat taubat,solat dhuha,solat rawatib dan sebagainya.

2)MEMBACA AL-QURAN

Sebagaimana yang pernah saya sebut dalam artikel sebelum ini,bulan Ramadhan merupakan bulan di mana diturunkan al-Quran.Maka di bulan ini kita mestilah memperbanyakkan amalan membaca al-Quran.Paling kurang kita mestilah mengkhatamkan bacaan al-Quran sekali dalam bulan ini.Sebenarnya peluang dan masa di bulan Ramadhan ini untuk kita membaca al-Quran cukup banyak dan luas.Paling senang kita tetapkan setiap kali selepas solat fardhu masa untuk kita membaca al-Quran.Umpamanya solat Subuh,Zuhur dan Asar;kita tidak lagi di bulan ini bersarapan,makan tengah hari dan minum petang,maka gunakan masa yang sebelum ini digunakan untuk mengisi perut kita untuk membaca al-Quran bagi mengisi pula jantung hati kita.

Selain daripada kita cuba mengkhatamkan al-Quran,dalam masa yang sama kita mestilah tadabbur ayat-ayat al-Quran dengan memahami apa yang disebutkan dalam al-Quran.Maka,carilah masa sebentar untuk kita membuka terjemahan al-Quran atau mana-mana tafsir agar kita dapat memahami al-Quran dengan sebenar-benarnya.

3)MENJAGA DIRI DARIPADA PERBUATAN DAN PERKATAAN YANG BURUK

Hal ini berdasarkan hadis qudsi,nabi bersabda:

“…Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa…“(Riwayat Bukhori)

“”Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya” (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 – Fath al-Bari).

Maka,daripada hadis ini,mestilah kita menjauhi daripada bercakap daripada perkara-perkara keji dan buruk apatah lagi jika perkara yang diungkapkan itu umpatan atau tuduhan palsu.

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda.,dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini.

Sebenarnya perkataan yang buruk dan keji boleh juga diwakili oleh penulisan-penulisan yang keji dan buruk dalam ruangan internet.Sekarang ini begitu meluas sekali perkataan-perkataan yang tidak sesuai dan langsung tidak mencerminkan dirinya seorang muslim di internet terutamanya di ruangan-ruangan komen blog terutama blog agama dan politik dan juga Facebook.Ingatlah setiap apa yang kita tulis di internet akan dikira dan dihitung oleh ALLAH Azza Wajal di hari akhirat nanti.

Saya juga terasa terpanggil untuk mengulas mengenai isu semasa yang membabitkan seorang tokoh agama dan politik di Kelantan yang saya segani.Media-media massa terutamanya media cetak iaitu akhbar telah melemparkan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas kepada beliau sedangkan beliau telah menjelaskan kepada sidang media mengenai perkara sebenar.Bagaimanapun media-media yang berkepentingan terus-menerus menyerang peribadi tokoh ini.Saya menasihati kepada pihak-pihak yang yang menguasai media agar berhenti daripada perkara yang jelas bertentangan dengan agama.Ingatlah akan firman ALLAH Azza Wajal dalam surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata“.

Kepada kita yang sering membaca berita di dada-dada akhbar,janganlah kita menerima bulat-bulat laporan yang dibuat oleh mana-mana akhbar tanpa kita menyemak terlebih dahulu kepastian dan kesahihahn berita tersebut.Firman ALLAH Azza Wajal:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”(surah al-Hujurat,ayat 6)

Menurut istilah ulama hadis,orang fasik ialah orang yang tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.Maka,pada hari ini entah berapa ramai yang dikategorikan sebagai orang fasik.Begitu juga dengan akhbar-akhbar,sudahlah isi-isi yang dimuatkan dalamnya tidak menepati syarak,berapa banyak pula dengan tangan-tangan wartawan yang fasik yang menulis laporan-laporan dalam akhbar.Oleh itu,sebelum menghukum sesuatu,sedikilah terlebih dahulu apa-apa sahaja berita yang datang kepada kita agar nanti tidak ada orang yang teraniaya atas perbuatan kita.

Saya juga ingin meberikan nasihat,walaupun saya bukanlah orang yang ‘alim dalam ilmu agama,tetapi sebagai seorang muslim saya terasa terpanggil untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.Bukankah Saidina Abu Bakr dan Umar r.a.huma pernah mengingatkan rakyatnya ketika mereka menjadi khalifah agar menegur mereka apabila mereka melakukan kesalahan?Nasihat ini adalah bebas daripada sebarang kepentingan.Bebaskanlah Majlis Fatwa Kebangsaan ini daripada sebarang kepentingan politik.Bincang dan berilah fatwa-fatwa berhubung masalah-masalah umat yang begitu banyak ini seperti isu ISA dan sebagainya.

KESIMPULAN:

Banyak perkara yang perlu kita ubah.Mulakan dengan diri kita terlebih dulu kemudian barulah keluarga,masyarakat dan negara.Diri kita tidak akan berubah menjadi insan yang bertaqwa selagi mana kita mengubah diri kita ke arah itu.ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya.Jangan kita sia-siakan peluang Ramadhan ini untuk kita berubah kerana kita tidak pasti sama ada kita masih lagi sempat untuk bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan.Oleh itu,tibalah masanya untuk kita berubah.


Kuliah Khas Mengenai Fiqh Puasa

August 20, 2009

Di sini,saya ingin berkongsi rakaman audio kuliah khas mengenai  fiqh puasa yang  disampaikan oleh Ustaz Fauwaz b. Fadzil Noor pada 14hb Ogos,hari Jumaat baru-baru ini.Berikut ialah perkara-perkara yang dibincangkan dalam kuliah ini:

1)Bagaimana menentukan permulaan bulan Ramadhan al-Mubarak ?

2)Syarat-syarat wajib dan sah berpuasa

3)Rukun-rukun puasa

4)Perkara-perkara yang membatalkan puasa

5)Kelonggaran-kelonggaran yang diizinkan oleh syarak ketika berpuasa

Untuk mendownloadnya,sila klik di sini.

Bagi mereka yang masih tidak tahu atau lupa mengenai perkara-perkara yang disenaraikan di atas,adalah digalakkan untuk mendownloadnya kerana mengetahui hukum-hakam mengenai puasa adalah fardu ain kepada kita sebagaimana fardhu ain ke atas kita mengetahui hukum-hakam solat.Diharap rakaman ini boleh disebarkan kepada sahabat-sahabat yang tidak mengetahui.Semoga mendapat manfaat daripada usaha yang kecil ini.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 38 other followers