Hukum Pengguguran(Abortion)[Siri 3] Terhadap Janin Cacat

June 30, 2009

Janin di dalam rahim seseorang wanita kadang-kadang mengalami kecacatan pada anggota tubuhnya.Ini mungkin disebabkan keadaan persekitaran dan penyakit warisan berdasarkan keturunannya.

Para doktor perlu mengambil peranan yang cukup penting di dalam menghadapi situasi sebegini.Jika bayi tersebut sudah dilahirkan maka para doktor perlu bersedia untuk menjadi pemberi motivasi yang terbaik untuk memberikan penjelasan kepada keluarga terutama wanita yang melahirkan anak tersebut.Ini bagi mengelakkan tersebut menjadi rendah diri dan malu dengan anaknya sendiri.Kini,terdapat banyak saluran sokongan seperti badan-badan amal,persatuan-persatuan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit tertentu, dan pusat-pusat kesihatan malah pakar tertentu khusus untuk anak-anak cacat.

Para ulama membahaskan adakah janin yang mempunyai kecacatan boleh digugurkan?

Pendapat para ulama dan doktor tentang janin cacat:

a)Sepakat para ulama bahawa janin cacat adalah HARAM untuk digugurkan jika ianya telah ditiupkan roh iaitu selepas berlalu 120 hari selepas disenyawakan.Maka pengguguran adalah diharamkan kecuali jika memudharatkan ibu yang mengandung dengan membiarkan janin tersebut.

b)Para ulama berbeza pendapat pula bila mana janin tersebut belum ditiupkan roh.Adakah dibenarkan oleh syarak untuk digugurkan atau tidak?Terdapat dua pendapat ulama tentang perkara ini:

i)Pendapat yang membenarkan

Antara para ulama dan doktor muslim yang membenarkan perkara ini ialah Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq(Syeikhul Azhar sebelum ini),Dr Taufiq Wa’ie,Dr Muhammad b. Kahujah(Mufti Tunisa dahulu),Dr Mustafa Labanah dan Dr Muhammad Ali al-Bar.Mereka membenarkan perkara ini berdasarkan beberepa ketetapan yang tertentu.

Ketetapan yang telah diletakkan secara rasmi oleh Majlis Kesatuan Fiqh Islami pada perhimpunan kali ke-12 yang bertempat di Makkah al-Mukarramah pada hari Sabtu 15 Rejab 1410 bersamaan 10 Februari 1990 ialah:

  • Jika janin tersebut telah mencapai 120 hari tempoh di dalam rahim maka pengguguran adalah DIHARAMKAN kecuali jika mendapat kepastian daripada para doktor pakar yang mengatakan bahawa janin tersebut akan memberikan kemudharatan pada nyawa ibunya jika dibiarkan di dalam rahim tersebut.
  • Manaka jika janin tersebut belum mencapai tempoh 120 hari di dalam rahim ibu tersebut ianya dibenarkan untuk digugurkan jika mendapat kepastian secara jelas daripada para doktor pakar bahawa janin tersebut memang mempunyai kecacatan yang teruk dan jika janin tersebut dibiarkan maka ianya akan lahir dalam keadaan yang tidak baik sera memberikan kesan yang buruk kepada keluarga terbabit.

ii)Pendapat yang mengharamkan:

Antara para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti,Dr Abdul Fattah Mahmud Idris,Dr Misbah Mutawalli Sayyid Hammad dan Dr Muhammad Nujaimi.

SUMBER:

Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan  Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar,tahun 3)


Hadis Palsu Rejab,Syaaban

June 24, 2009

Artikel ini merupakan Himpunan penulisan Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin yang terdahulu dicadangkan untuk bacaan bersempena bulan Rejab.

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Mendengar

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).

Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Gambar hiasan

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Sumber:Minda Tajdid


Setahun Di Mesir:Satu Penilaian

June 22, 2009
Permandangan di Mesir yang diambil dari atas bangunan kediaman pelajar-pelajar tahun satu Universiti Kaherah

Permandangan di Mesir yang diambil dari atas bangunan kediaman pelajar-pelajar tahun satu Universiti Kaherah

Kali ini saya akan menulis satu tajuk khas buat diri saya sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan tahun satu di Mesir ini.Namun,bagi pembaca lain yang berada di luar Mesir(Jordan,UK,dll)atau di Malaysia sekalipun,anda sebenarnya boleh mengambil manfaat daripada isi-isi utama yang akan disebutkan dalam penulisan ini dan dipraktikkan mengikut situasi,tugas dan tempat anda masing-masing.Sebenarnya saya berada di sini baru 8 bulan,belum sampai lagi setahun.Namun saya mengganggap dan mencongakkan ia menjadi setahun kerana perjuangan saya sebagai pelajar tahun satu perubatan di sini hampir berakhir.Cuma berbaki satu sahaja lagi peperiksaan oral bagi subjek Physiology pada  27hb Jun ini bersamaan hari Sabtu.

Saya masih ingat lagi hari pertama mula-mula menjejakkan kaki di sini,7hb 10 2008,enam hari selepas Hari Raya Aidilfitri.Semuanya datang dengan pelbagai perasaan.Hiba kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman tercinta.Perasaan gembira juga ada kerana dapat merasai pengalaman menaiki kapal terbang kerana ada di kalangan kita yang baru kali pertama merasainya serta teruja dengan suasana baru yang akan ditempuh di Mesir ini.Ramai dalam kalangan kita dalam minggu pertama tidak dapat menyesuaikan diri lagi dengan keadaan di sini disebabkan pelbagai faktor dan suasana yang berlainan dengan Malaysia.Di sini udaranya dipenuhi dengan debu-debu,masyarakatnya jika dibandingkan dengan masyarakat Malaysia agak lebih kasar,makanannya juga berbeza,malah yang paling utama ialah bahasa percakapan untuk muamalah telah bertukar.Daripada kita yang selesa berbahasa dengan bahasa ibunda terpaksa bercakap dengan bahasa Arab ‘Ammi yang pada mulanya agak tergagap-gagap.

Bersama ahli beit,Haziq sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kaherah

Bersama ahli beit,Haziq sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kaherah

Baiklah,itulah serba sedikit pengalaman mengenai detik-detik awal saya berada di sini yang boleh dikongsikan bersama.Saya akan terus masuk kepada isi yang ingin disentuh iaitu membuat penilaian atau refleksi diri setelah hampir setahun berada di Mesir.Penilaian ini akan diukur berdasarkan kepada beberapa aspek yang akan disebutkan di bawah.Kenapa saya menulis satu tajuk khas untuk isu ini?Bagi saya,penilaian ini sangat-sangat perlu bagi kita yang sentiasa ingin berubah ke arah yang lebih baik.Melalui penilaian sebeginilah kita dapat mengukur di manakah kekurangan-kekurangan yang masih belum kita tampungkan serta menilai perkara-perkara yang telah kita peroleh selama berada di sini.Berikut ialah aspek yang perlu dinilai oleh diri kita masing-masing:

1.PENGUASAAN DALAM SUBJEK MEDIK

Saya memilih aspek ini sebagai aspek utama kerana melihat inilah tugas dan tanggungjawab yang paling utama yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin oleh saya dan sahabat-sahabat.Kebanyakan daripada kita ditaja oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) dan selebihnya ditaja oleh badan-badan lain seperti Majlis Agama Islam Selangor(MAIS),Yayasan Sabah serta ada juga yang datang dengan menggunakan duit sendiri.Walaupun kita berbeza dari sudut tajaan tetapi sebenarnya kita mempunyai satu matlamat yang sama dan jelas iaitu ingin memperoleh ijazah kedoktoran di sini dengan keputusan yang secemerlang mungkin pada akhir tahun enam nanti.Insya ALLAH.

Terdapat 4 subjek utama medik yang perlu diperlajari oleh kita pada tahun ini iaitu Anatomy,Physiology,Biochemistry,dan Histology.Insya ALLAH pada tahun depan juga kita akan mengambil subjek yang sama untuk sambungan subjek yang dipelajari pada tahun ini.Keempat-empat subjek ini agak berbeza antara satu sama lain.Namun demikian,kita harus sedar bahawa sebenarnya bidang Medik ini tidak ada subjek yang terpisah bersendirian.Semuanya berkait satu sama lain.Cumanya kita tidak sedar kerana masih belum tahu akan kepentingan setiap subjek yang telah dipelajari.Ia akan diketahui setelah kita masuk tahun empat yang mana kita semua diwajibkan membuat latihan klinikal di hospital.Tahun itu dikenali sebagai tahun klinikal atau lebih banyak disebut sebagai ‘”clinical year” oleh pelajar-pelajar medik.

Adakah kita semua telah betul-betul menguasai subjek medik bagi tahun satu ini?Persoalan ini perlu dilontarkan kepada diri kita masing-masing.Saya melihat kita terpecah kepada 3 kumpulan bagi persoalan ini.Pertama,mereka yang menguasai subjek medik sepanjang masa yakni sama ada sebelum atau selepas exam.Kumpulan ini boleh dinilai dan dilihat melalui penglibatan mereka dalam kuliah dan pencapaian dalam peperiksaan.Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini jika kita lihat,mereka menunjukkan minat yang sangat tinggi dan mendalam terhadap bidang medik ini.Mereka mempunyai sifat inkuiri yang begitu tinggi terhadap sesuatu pelajaran yang dipelajari.Mereka inilah yang menghidupkan suasana pembelajaran dalam kuliah  dengan bertanyakan pelbagai soalan kepada pensyarah.Tidak cukup dengan itu,mereka juga bertanya kepada pensyarah semasa di luar kuliah.Mereka juga sering berbincang dan membuat penerangan kepada sahabat-sahabat lain yang masih belum faham akan sesuatu topik.Kumpulan ini insya ALLAH jika mereka meneruskan sikap sedemikian,mereka akan terus cemerlang sama ada dalam peperiksaan atau semasa menjadi pegawai perubatan nanti.

Kumpulan kedua,mereka yang menguasai subjek medik hanya apabila hampirnya kepada peperiksaan.Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini mula belajar secara serius hanya apabila sedar akan dekatnya mereka kepada tarikh peperiksaan.Semasa di awal-awal tahun,mereka ini tidak begitu komited dengan pelajaran dan tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang medik ini.Sebahagian mereka datang lambat ke kuliah,sering tidur di dalam kuliah,tidak mengulang kaji pelajaran yang telah diajar,suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan suka ke hulu ke hilir meronda dan melawat kawasan-kawasan yang ada di Mesir ini.Namun,kumpulan ini apabila sedar akan hampirnya mereka dengan peperiksaan,barulah gaya hidup dan pembelajaran yang disebutkan di atas diubah.

Mulalah ada yang berjaga malam sampai 2 3 pagi,terperap dalam bilik 24 jam,dan malah ada yang tidak tidur langsung demi “cover” balik subjek-subjek yang masih belum lagi dikuasai.Akhirnya,mereka berjaya menguasai subjek medik dan mendapat keputusan yang cemerlang sama seperti kumpulan pertama.Dan diri ini merasakan lebih tergolong dalam kumpulan ini.Wallahu ‘alam.Namun adakah tiada beza antara kumpulan pertama dan kedua?Sudah tentu tidak tidak sama.Pada pengamatan dan kaca hemat saya,mereka yang tergolong dalam kumpulan kedua ini,mereka sebenarnya hanya mampu ingat akan pelajaran-pelajaran yang dipelajari paling lama sebulan selepas peperiksaan jika sekiranya tidak mengulang balik apa yang dipelajari.Hal ini kerana kumpulan ini kebanyakannya bukannya mengulang kaji pelajaran kerana betul-betul minat akan bidang medik tetapi kerana peperiksaan.Sedangkan kumpulan pertama akan sentiasa konsisten dalam mengulang kaji pelajaran kerana mereka ini mempunyai minat yang betul-betul mendalam terhadap bidang medik.

Kumpulan ketiga iaitu mereka yang tidak dapat menguasai subjek medik sehingga ke saat peperiksaan.Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini pada hemat saya,ciri-ciri mereka hampir sama dengan kumpulan kedua.Cumanya mereka tetap tidak dapat menguasai subjek medik sehingga ke saat peperiksaan.Saya lihat beberapa faktor,antaranya lemah ingatan dan ketidakmampuan untuk mengaitkan pelajaran yang dipelajari antara satu sama lain,tidak melakukan “study group”,dan malu bertanya kepada pensyarah dan kawan-kawan akan pelajaran yang tidak faham.Mereka lebih suka membiarkan mereka di dalam keadaan jahil(tidak tahu) akan pelajaran,daripada bertanya kepada yang lebih mengetahui.Mungkin inilah sebab utama bagi masalah kumpulan ini.

Akhirnya,kita perlu sedar bahawa kita semua datang ke sini dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang cemerlang yang menunjukkan bahawa kita semua tergolong dalam pelajar yang memiliki potensi yang tingi.Yang membezakan kita di sini mungkin disebabkan oleh cara belajar dan sikap-sikap yang tidak bagus yang tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang yang bergelar pelajar medik.Tentukanlah sendiri anda berada di dalam kumpulan yang mana.

2.PENGUASAAN DALAM BERBAHASA ARAB

Aspek yang kedua ini juga tidak kurang pentingnya juga yang harus kita perhalusi.Apabila berbicara soal bahasa Arab ianya akan terpecah kepada dua iaitu fusha(bahasa standard) dan ‘ammi(bahasa pasar).Walaupun ada persamaan antaranya namun perbezaan antara keduanya lebih banyak.Sebab itulah salah seorang sahabat-sahabat Mesir saya antaranya Dr Muhammad dan Abu Talib pernah menyebut bahawa orang Mesir ini tidak mampu untuk memahami bahasa fusha dengan baik terutamanya bagi mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi.Banyak perkataan yang mereka tidak tahu.Sebab itulah mahu tidak mahu,kita mesti menguasai bahasa Arab ‘Ammi di samping Arab Fusha bagi membolehkan kita bermuamalah dengan baik dengan masyarakat Mesir.Satu perkara lagi yang perlu kita sedar bahawa masyarakat Mesir ini lebih suka bercakap dengan bahasa ‘Ammi daripada bahasa fusha itu sendiri sekalipun mereka yang menguasai bahasa fusha dengan baik.

Saya kira setelah berada di Mesir hampir setahun ini,kita sepatutnya mampu menguasai bahasa Arab dalam 50-60%.Namun saya lihat ramai juga di kalangan kita yang tidak mencapai target itu terutamanya bagi mereka yang tidak mempelajari bahasa Arab di sekolah sebelum ini.Tetapi alasan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana kita telah mempunyai contoh daripada senior-senior yang tidak pun mempelajari bahasa Arab di sekolah tetapi masih mampu menguasainyaapabila tiba di sini.Semuanya ini berkait rapat dengan kemahuan kita sama ada ingin menguasai bahasa Arab atau sebaliknya.

Sebenarnya saya pernah menulis artikel berhubung hal ini dalam discussion MEP 08 Friendster Group.Untuk membacanya,klik di sini.Masalah berhubung kelemahan berbahasa Arab ini mula timbul pada pengamatan saya apabila kerajaan Malaysia membuat perjanjian MoU dengan kerajaan Mesir untuk menempatkan pelajar-pelajar perubatan Malaysia di Universiti Kaherah dalam satu kelas yang khusus untuk pelajar Malaysia sahaja dalam erti kata lain tiada orang Arab.Bahasa pengantaran untuk sesi kuliah juga ditukar daripada separuh bahasa Arab separuh bahasa Inggeris(untuk kuliah pelajar Arab) kepada seratus peratus bahasa Inggeris.Hal inilah sebenarnya yang menyebabkan penguasaan dan perkembangan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar Malaysia mula merosot bermula daripada batch tahun tiga tahun ini dan terus menular kepada batch-batch yang datang selepasnya yakni tahun dua dan tahun satu.Mereka merasakan bahawa bahasa Arab ini tidak begitu penting kerana pembelajaran di kuliah adalah dalam bahasa Inggeris.Tetapi sebenarnya mereka lupa bahawa bahasa Arab ini amat penting dan diperlukan untuk kita semasa tahun klinikal nanti.Kita semua nanti pada tahun tersebut akan berurusan dengan pesakit-pesakit Arab yang saya pasti kebanyakannya tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Antara beberapa sebab yang menyebabkan kita begitu lemah dalam bahasa Arab ialah kurangnya kita bermuamalah dengan masyarakat Arab.Kebanyakan daripada kita masih lagi takut dan malu untuk bercakap.Bimbang nanti ada yang tersalah cakap.Sebenarnya sikap-sikap sebegini perlu dikikis kerana ia memjadi penghalang utama kita untuk menguasai sesuatu bahasa.Kita sepatutnya tidak takut untuk bercakap dan jikalau tersalah cakap,tidak mengapa kerana ia satu perkara lumrah dalam kita mempelajari sesuatu bahasa yang lain.Yang penting perbetulkan kesilapan itu.

Selain itu,saya lihat kebanyakan daripada kita tidak mempunyai sahabat-sahabat dalam kalangan orang Mesir.Saya sendiri mengenali beberapa orang Mesir dan bersahabat dengan mereka.Memang ada yang mengatakan perlu berhati-hati dalam bersahabat dengan orang Mesir,bimbang nanti akan diambil kesempatan.Namun bukan semua orang Mesir begitu.Ramai juga  yang ikhlas dan baik berdasarkan pengalaman saya bersahabat dengan mereka.Apa yang penting kita pilihlah orang-orang Mesir yang baik menjadi sahabat kita.Paling mudah pilihlah sahabat yang sentiasa kita lihat mukanya di masjid kerana itu sebenarnya salah satu petanda bahawa dia merupakan orang yang baik.

Kenapa saya menyebut hal ini?Hal ini kerana melalui sahabat Mesir inilah kita boleh mempertingkat kemampuan kita dalam berbahasa Arab lebih-lebih lagi apabila sahabat kita itu seorang yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik.Kita boleh bertanya kepadanya mengenai perkataan-perkataan yang tidak difahami dan yang ingin digunakan untuk bermuamalah dengan masyarakat Mesir.Cara ini langsung tidak memakan kos jika dibandingkan dengan kita mengambil kelas-kelas Arab yang memakan kos yang agak mahal.

Akhir sekali,penguasaan bahasa Arab dengan baik merupakan kunci kepada untuk kita menguasai ilmu-ilmu agama.Dalam erti kata lain,kita akan mampu memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis dengan baik serta dapat pula membaca kitab-kitab karangan para ulama.Tidak teringinkah kita ke arah itu?

Berada di sekitar kawasan Universiti Kaherah

Berada di sekitar kawasan Universiti Kaherah

3.PEMBENTUKAN AKHLAK DAN PERIBADI

Aspek terakhir ini tidak patut kita lupa untuk dinilai.Hidup di Mesir ini bukan sahaja sekadar mempelajari ilmu-ilmu perubatan dan bahasa Arab,tetapi kita juga mempelajari dan memupuk serta mendidik akhlak-akhlak yang baik dalam diri kita.Saya mengakui bahawasanya dengan suasana atau biah yang ada di Mesir ini tidak mampu membentuk kita berakhlak dengan akhlak baik.Hal ini kerana kita melihat rata-rata orang Mesir berakhlak dengan akhlak jahiliah sama ada dalam jual beli,perkahwinan dan hubungan sesama mereka.Namun,hal ini tidak sepatutnya menjadi sebab yang menjadi penghalang kepada kita untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia bahkan ia patut menjadi semangat dan cabaran kepada kita untuk berakhlak mulia dan beristiqamah dengannya.

Hidup di sini sebenarnya melatih kita untuk berdikari(berdiri di atas kaki sendiri).Kita di sini tinggal berjauhan dengan keluarga.Maka segala aktiviti harian,kita semua yang uruskan.Jikalau dulu kita tidak pernah langsung memasak,hari ini kita terpaksa memasak sendiri di rumah mengikut jadual-jadual yang telah ditetapkan.Jikalau dulu kita membiarkan tugas membasuh baju dan melipat kain kepada ibu kita,hari ini kita yang lakukan semua itu.

Perkara ini sebenarnya membentuk diri kita menjadi lebih matang dan dewasa dalam kehidupan.Kita mula sedar akan tanggungjawab kita.Namun kita perlu bertanya juga:sejauh manakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita di sini?Tanggungjawab sebagai ahli beit(ahli rumah) sejauh manakah kita telah laksanakan dengan sebaik mungkin?Jika kita masih lagi malas dalam melaksanakan tugas-tugas sebagai ahli beit umpamanya memasak,membersih rumah,menjaga kebersihan rumah,membasuh pinggan dan sebagainya,kita sepatutnya membuat muhasabah dan memperbaiki diri  agar perkara-perkara yang disebutkan tadi diperbaiki pada tahun depan.Ahli beit yang baik sebenarnya merupakan faktor yang penting  kepada pembentukan peribadi dan akhlak ahli beit yang yang lain.Oleh itu,mulakanlah dengan diri kita dahulu untuk menjadi seorang ahli beit yang bertanggungjawab dan lebih mengambil berat akan kebajikan ahli beit  pada tahun depan.

Kesimpulan:

Akhirnya,pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan kepada sahabat-sahabat yang akan pulang ke Malaysia pada tahun ini “Selamat Pulang Ke Tanah Air Dan Bercuti Di Sana”.Ambillah manfaat sebaik mungkin cuti selama 3 bulan ini.Semoga kita berjumpa lagi untuk sesi akademik baru.Insya ALLAH.Kepada sahabat yang tidak pulang ke Malaysia,ambillah kesempatan cuti ini  juga untuk merebut peluang-peluang yang ada di Mesir ini.Cuba dapatkan bahasa Arab sebanyak mungkin sepanjang cuti nanti.Akhir sekali,semoga kita semua merenung terhadap perkara-perkara yang telah saya sebutkan dalam penulisan yang panjang ini dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun depan.


Hukum Pengguguran(Abortion)[Siri 2] Terhadap Janin Mangsa Rogol

June 21, 2009

PERINGATAN:Sebelum anda membaca artikel berhubung isu ini,pastikan anda terlebih dahulu membaca artikel berkaitan isu ini siri 1 bagi mendapatkan kefahaman yang menyeluruh dan mengelakkan sebarang kekeliruan.

Para ulama semasa juga telah membincangkan permasalahan berkaitan janin perempuan yang dirogol sama ada dibenarkan untuk digugurkan atau tidak.Perbahasan terperinci adalah seperti berikut

1.Pendapat yang mengharuskan

  • Menurut Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti:”Perempuan yang dibuktikan secara jelas bahawa dia dirogol maka hukuman hudud tidak akan dikenakan kepadanya dan perempuan tersebut juga berhak untuk menggugurkan janin kandungannya selagi mana ianya tidak ditiupkan rohnya”.
  • Menurut Dr. Muhammad Sayyid Tantawi(Syeikhul Azhar sekarang):”Pengguguran diharuskan terhadap perempuan yang dirogol selagi mana janin tersebut masih pada bulan pertama selepas kejadian tersebut berlaku.Ini sebagai langkah untuk menjaga nasab keturunan”.
  • Manakala menurut Dr. Saaduddin al-Hilali,bagi permasalahan ini memerlukan beberapa ketetapan yang khusus.Di antara ketetapan yang perlu diletakkan ialah:

a)Perlu mendapatkan kepastian daripada pihak berkuasa bahawa wanita tersebut dirogol

b)Perlu melaksanakan pengguguran sebaik sahaja berlakunya peristiwa tersebut.Ini kerana jika dilambatkan proses     tersebut maka wanita tersebut diiktibarkan seolah-olah menerima janin tersebut

c)Perlu memastikan bahawa janin tersebut belum lagi membentuk jasad dan belum ditiupkan roh.Jika sudah berlaku kedua-dua perkara tersebut maka pengguguran adalah diharamkan.

d)Pengguguran perlu dilakukan oleh doktor pakar

Kesimpulan bagi pendapat yang mengharuskan:

Kesimpulan yang dapat kita ambil berdasarkan ketiga-tiga pendapat tersebut ialah,janin tersebut boleh digugurkan selagi mana ianya tidak ditiupkan roh.

2. Pendapat yang mengharamkan

  • Terdapat sebahagian ulama yang mengharamkan pengguguran janin wanita yang dirogol sama ada sudah ditiupkan roh atau tidak
  • Antara para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah Dr Abdul Fattah Mahmud Idris dan Dr Misbah Mutawalli Sayyid Hammad
  • Hujah yang digunakan oleh mereka adalah sama seperti hujah yang mengharamkan pengguguran janin wanita yang berzina

Sumber:

Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan  Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar,tahun 3)


Dapatkan Bahan Rujukan Agama Dan Perubatan Di Sini

June 17, 2009

Kepada pelawat yang dikasihi sekalian,mulai hari ini anda boleh mendapatkan bahan-bahan ilmiah agama daripada blog ini.Kebanyakan bahan ini berformatkan zip.Berita baik juga kepada pelawat yang berlatarbelakangkan pendidikan perubatan sama ada yang masih belajar atau telah menjadi pegawai perubatan,anda boleh mendapatkan bahan-bahan rujukan perubatan dalam blog ini.Insya ALLAH dari semasa ke semasa bahan-bahan rujukan yang baru akan ditambah dan di”upload”.Semoga anda mendapat manfaat daripada usaha yang kecil ini.Untuk mendapatkan semua bahan yang disebutkan sila klik di sini.


Rebutlah Kebaikan Selagi Umur Masih Berbaki

June 16, 2009

Kita baru-baru ini dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulama’ dan pendakwah,Syeikh Dr Fathi Yakan pada 13hb Jun yang lepas iaitu bersamaan hari Sabtu.Info lanjut mengenainya anda boleh melihat pada artikel saya yang lepas yang bertajuk “Perginya Seorang Murabbi Umat“.Sedih rasanya apabila mula-mula mendengar berita mengenai pemergian Syeikh Dr Fathi Yakan.Saya sebenarnya mula mengetahui nama syeikh semasa di sekolah menengah,apabila silibus utama usrah saya pada waktu itu menggunakan buku yang dikarang oleh syeikh iaitu yang bertajuk “Apa Erti Aku Menganut Agama Islam”.Saya kira hampir kebanyakan sekolah menggunakan buku ini sebagai silibus usrah.Bahkan saya dan sahabat-sahabat masih lagi menggunakan buku itu di Mesir ini sebagai silibus untuk Smart Circle(nama usrah kami di Mesir)untuk pelajar-pelajar perubatan tahun satu.

Perginya seorang ulama’ sudah semestinya tidak sama dengan perginya orang biasa.Hilangnya seorang ulama’ beerti hilanglah sebutir mutiara yang berada di dalam lautan manusia.Mutiara inilah yang membawa manusia kepada jalan lurus yang dilalui oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat.Kematian para ulama’ sebenarnya adalah satu bala kepada umat kerana ulama’ itu pewaris para nabi.Ketiadaan para ulama seperti ketiadaan para nabi yang mana umat akan terkapai-kapai hanyut di dalam arus duniawi tanpa panduan al-Quran dan as-Sunnah.Hal ini pernah dinyatakan oleh Nabi s.a.w,mafhumnya:

Daripada Abdullah b. Amr b. ‘As r.huma katanya:Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dari manusia dengan cara menarik ilmu daripada manusia(yakni tidak memadamkan ilmu di dada para ulama),tetapi Allah mengangkat ilmu dengan mematikan para ulama  sehingga tidak tinggal lagi orang ‘alim,(lalu) manusia akan mengambil orang yang jahil sebagai pemimpin,lalu mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa ilmu,maka(hal itu menyebabkan)mereka tersesat dan menyesatkan manusia.(Muttafaqun ‘Alaih)

Kita memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan kita daripada zaman ketandusan para ulama seperti yang oleh baginda nabi s.a.w.Bahkan pada hari ini kita sebenarnya telah melihat pada sebahagian keadaan manusia telah melantik orang jahil mengepalai dan mengetuai urusan agama.Hal ini sebenarnya satu fitnah(ujian) yang amat besar dan berat kepada umat Islam.

Sepanjang minggu ini saya dihidangkan dengan berita-berita mengenai kematian fulan itu dan ini yang akhirnya menyebabkan diri ini tertanya-tanya juga:Bila pula akan tiba giliranku?Masih banyak lagikah baki umurku di dunia ini?Tiada siapa yang mengetahui jawapannya melainkan ALLAH Azza Wajalla,Tuhan Yang Menghidupkan dan Tuhan Yang Mematikan seluruh makhluk-Nya.Adakah telah cukup amal kebajikan dan kebaikan untuk kita menempuh hari yang tiada syak,Hari Akhirat,hari perhitungan yang mana semua amalan akan diberi ganjaran dan balasan tanpa sesiapa pun yang akan terasa dizalimi dengan perhitungan ALLAH Azza Wajalla Yang Maha Adil?ALLAH Azza Wajalla telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 148:

Maka berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan

Melalui ayat di atas,kita dapat fahami bahawasanya ALLAH menyuruh manusia berlumba-lumba dan berebut-rebut dalam membuat perkara kebaikan bukannya buat kebaikan hanya apabila ada masa ‘free’.Berbeza dengan perlumbaan mana-mana pertandingan umpamanya lari 100M,akan ada nanti di akhir garisan orang yang menang dan kalah dan akan ada orang yang mendapat untung dan rugi,sebaliknya perlumbaan dalam membuat kebaikan tiada orang yang akan kalah dan rugi.Semuanya akan mendapat keuntungan.Cumanya lebih banyak amal kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,lebih banyak pula keuntungan yang diperoleh.Lebih pantas seseorang kepada kebaikan,lebih pantas juga rahmat ALLAH Azza Wajalla ke atasnya.Inilah perkara yang kita perlu renungi bersama.

Seruan kepada berlumba-lumba dalam membuat kebaikan perlu kita semat di dalam minda kita.Ramai daripada kita yang suka menangguhkan untuk melakukan perkara yang baik sedangkan mereka mampu untuk melaksanakannya pada masa itu juga.Tindakan ini sebenarnya bercanggah dengan seruan ayat al-Quran di atas.ALLAH Azza Wajalla menyeru kepada hamba-hambanya supaya berlumba-lumba dan bersegera dalam membuat kebaikan.Kerana apa?Kerana manusia tidak mengetahui berapakah lagi baki umurnya yang tinggal  di dunia ini.Rata-rata daripada kita memasang angan-angan yang terlalu tinggi seakan-akan umur kita masih lagi panjang.Kita menganggap kita masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik,maut tidak akan singgah kepada kita.Sedarlah dan ingatlah sentiasa,bahawa ajal dan maut tidak pernah mengenal usia dan jantina,pangkat dan kedudukan.Ianya akan hadir apabila cukup tempoh yang ditetapkan ALLAH,tidak dipercepatkan walau sesaat dan tidak diawalkan walau sesaat.

Bayangkan jika sekiranya perkara kebaikan yang mampu kita lakukan sebentar tadi kita tangguhkan untuk hari esok,tiba-tiba ajal datang menjemput kita pada hari ini,maka amatlah malang dan ruginya diri kita ini.Bak kata pepatah Melayu;sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.Rugi di dunia hanya sementara.Seorang yang muflis di dunia tidak mustahil mampu untuk menjadi jutawan pada masa akan datang.Tetapi rugi di akhirat beerti rugi selama-lamanya.Tiada lagi peluang untuk diri kita mengumpul aset-aset kebaikan untuk dijadikan harta yang akan menyelamatkan kita daripada api neraka.Mulai sekarang,kumpullah seberapa banyak aset-aset kebajikan dan rebutlah peluang berbuat kebaikan selagi umur masih bersisa.Firman ALLAH Azza Wajalla dalam ali-Imran ayat 133,mafhumnya:

Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa“.


Hukum Pengguguran(Abortion)[SIRI 1] Terhadap Janin Anak Luar Nikah

June 15, 2009

Melihat kepada perbahasan para fuqaha dapat diringkaskan hukum pengguguran janin dalam Islam terbahagi kepada dua keadaan:

Keadaan pertama:pengguguran janin yang berlaku selepas ditiupkan roh padanya(selepas 120 hari atau 4 bulan).Para fuqaha telah bersepakat bahawa pada ketika ini pengguguran adalah haram(rujuk Fatawa Ibnu Taimiyah jilid 34,m/s160;Hasyiah Ad-Dusuqi jilid 2,m/s 267;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 191;al-Muhalla jilid 11,m/s 29)

  1. Ia dianggap melakukan jenayah terhadap makhluk yang hidup,sempurna dan bernyawa.
  2. Denda yang dikenakan sekiranya janin itu hidup ketika digugurkan kemudian mati adalah bayaran diat.Bagi janin yang mati ketika gugur dikenakan bayaran ghurrah.
  3. Haram pengguguran selepas ditiupkan roh dikuatkan dengan hadis yang diriwayat oleh Ibnu Mas’ud secara marfu’,mafhumnya:

Bahawa setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari,kemudian jadilah ia segumpal darah seperti yang demikian,kemudian jadilah ia seketul daging seperti yang demikian,kemudian diutuskan malaikat lalu ditiupkan padanya roh“(Rujuk Fathul Bari jilid 11,m/s 477)

Keadaan kedua:pengguguran janin yang berlaku sebelum ditiupkan roh

Pendapat pertama:Boleh melakukan pengguguran janin dalam tempoh 40 hari dari tempoh kehamilan.

  1. Kemudian mereka berselisih pada menyatakan keharusan menggugurkan tersebut.Setengah daripada mereka membolehkannya secara keseluruhan seperti sebilangan fuqaha Hanafi,al-Laqhmi daripada Maliki,Abu Ishak al-Marwazi daripada Syafei dan sebahagian Hambali(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191)Bagi mereka dalam tempoh yang disebutkan tadi kandungan masih lagi tidak bernyawa.
  2. Setengah daripada mereka pula meletakkan beberapa syarat dan garis panduan bagi membolehkan kandungan digugurkan.(rujuk Hasyiah Ibnu Abidin jilid 2,m/s 380;Hasyiah ar-Rahuni jilid 3,m/s 264;Nihayatul Muhtaj jilid  8,m/s 416;al-Furu’ jilid 6,m/s 191).

a. Sekiranya kandungan tersebut dikekalkan akan memberi kemudharatan  pada isteri

b. Terputusnya susu dengan sebab hamil lagi(bagi pasangan yang mempunyai anak kecil yang masih                                             menyusu) dan suami tidak berkemampuan untuk mengupah wanita lain untuk menyusukan anaknya.

c.  Mesti redha di kedua-dua belah pihak dari hasil perbincangan suami isteri.

d.  Mestilah mendapat kepastian dari pakar perubatan yang dipercayai(thiqah) bahawa pengguguran yang                                 akan dilakukan tidak memberi sebarang kemudharatan kepada isteri.

e.  Mesti bertujuan untuk menumpukan perhatian penuh kepada tarbiah dan pendidikan anak,kerana                                             sebilangan isteri tidak dapat melakasanakan tanggungjawabnya apabila mengandung.

f.  Sesetengah fuqaha memberi kelonggaran kepada kandungan yang terhasil  dari zina(tajuk ini akan                                            dibincangkan secara terperinci di bawah).

Pendapat kedua:Makruh yang membawa kepada kepada haram menggugurkan janin,pendapat ini dipelopori oleh sebilangan fuqaha Hanafi,Syafie dan Hambali(rujuk Jamie al-Fusulin jilid 2,m/s 354;Fatawa Khaniyah jilid 3,m/s 410;Hasyiah Ibnu Abidin jilid 3,m/s 495;Nihayatul Muhtaj jilid 8,m/s 416;al-Furu’ jilid 1,m/s 281)

Pendapat ketiga:Haram pengguguran secara keseluruhan

  1. Mereka berhujah tidak boleh mengeluarkan mani(yang sudah berlaku persenyawaan) yang telah terbentuk di dalam rahim walaupun sebelum tempoh 40 hari,kerana ia akan hidup.Maka hukum baginya adalah seperti yang hidup.
  2. Imam Ghazali mengungkapkan haram melakukan pengguguran dalam tempoh ini dengan katanya:Ia adalah jenayah ke atas benda wujud yang akan terjadi,peringkat pertama kewujudannya ialah apabila mani diletak di dalam rahim dan berlaku persenyewaan serta bersedia untuk menerima kehidupannya.Menghalang perkara tersebut beerti jenayah,kerana ia menyekat ia dari terbentuk dengan sempurna.(rujuk Ihya’ Ulumuddin jilid 2,m/s 51)
  3. Kata Ibnu Jauzi:Perkara tersebut adalah haram tetapi kurang dosanya berbanding dengan pengguguran yang dilakukan selepas ditiupkan padanya roh(rujuk Ahkam an-Nisa’ m/s 374)

Pendapat yang dipegang oleh kebanyakan fuqaha adalah pendapat yang mengatakan haram menggugurkan janin(jika tidak ada sebarang sebab yang membolehkannya).Bagaimana pula pengguguran yang dilakukan ke atas janin anak luar nikah?Berikut adalah perbahasan para ulama mengenainya:

Hukum Pengguguran Janin Anak Luar Nikah

  1. Pendapat ulama terdahulu:

a. Mazhab Maliki

  • Penguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
  • Berdasarkan pendapat al-Imam Khurasyi dan lain-lain ulama Malikiyah mengharamkan secara mutlak pengguguran janin walaupun sebelum 40 hari yang pertama di dalam rahim.Inilah pendapat muktamad di dalam mazhab Maliki.

b. Mazhab Syafei

  • Para ulama bermazhab Syafei bersepakat mengatakan bahawa pengguguran adalah diharamkan jika dilakukan selepas ditiupkan roh ke atas janin tersebut.
  • Manakala jika sebelum ditiupkan roh sebahagian ulama Syafieyah membenarkan pengguguran dilakukan.Ini berdasarkan pendapat Imam Qarafi.Imam al-Ghazali juga membahaskan tentang perkara ini tetapi tidak menjelaskan sama ada ianya haram atau tidak.
  • Imam al-Ramli dan Syeikh Sulaiman Jamal mengatakan harus dilakukan pengguguran jika sebelum ditiupkan roh.Manakala Imam Subki meletakkan bahawa harus digugurkan jika janin yang berada di dalam rahim tersebut belum melebihi 80 hari.

2.  Pendapat Ulama Semasa:

Menurut Dr. Misbah Mutawalli Sayyid Hammad(pensyarah Fiqh Perbandingan Universiti Al-Azhar):Tidak terdapat seorang pun di kalangan ulama semasa yang bersetuju bahawa janin anak zina dibenarkan untuk dilakukan pengguguran.Antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah seperti Dr.Abdul Fattah Idris dan Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti.Bahkan mereka menegaskan bahawa sepatutnya para ulama melarang perkara seperti ini berlaku.

Di antara doktor perubatan yang menyokong pendapat ini ialah Dr. Hassan Huthut dan Dr. Muhammad Ali al-Bar.

Antara dalil yang digunakan oleh para ulama yang mengharamkan perkara ini ialah:

i. Firman Allah s.w.t dalam surah an-Najm ayat 38,maksudnya:

Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan menanggung dosa orang lain

Ayat ini menerangkan bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa perbuatan orang lain.Menurut Dr.Muhammad Said Ramadhan al-Buti:”Kita mengetahui dengan jelas bahawa tujuan sebenar pengguguran ini dilakukan oleh penzina adalah semata-mata untuk mengelakkan dirinya dicemuh masyarakat terhadap dosa yang dilakukan olehnya”

Maka ini jelas menunjukkan bahawa perkara ini diharamkan.Seolah-olah janin yang tidak bersalah tersebut turut terlibat sama di dalam dosa yang dilakukan oleh penzina terbabit.

ii. Berdasarkan hadis wanita yang berzina pada zaman baginda nabi s.a.w.Hadis tersebut diriwayatkan di dalam Sahih Muslim pada bab hukuman zina.Kesimpulan yang dapat kita ambil daripada hadis ini ialah jika benar pengguguran janin anak zina dibenarkan oleh syarak,maka tentulah banginda nabi s.a.w. akan mengarahkan wanita tersebut untuk menggugurkan kandungannya.Hadis tersebut juga menjelaskan bahawa wajib menjaga kandungan tersebut sehingga dilahirkan dan disusukan selama 2 tahun.

Kesimpulan:

Kesimpulan yang dapat kita lakukan berdasarkan dua pendapat di atas ialah haram melakukan pengguguran terhadap anak luar nikah.Dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama semasa lebih jelas dan kuat berkenaan pengharaman perkara ini.Maka para pengamal perubatan perlu mengambil perhatian tentang perkara ini.

Sumber:

Kertas Kerja Seminar Perubatan Kali Ke-2 mengenai Kelahiran dan  Kematian anjuran Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir pada 11-12 Februari 2009,pembentang hasil kertas kerja di atas ialah Ustaz Nazrul bin Nasir(penuntut Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar,tahun 3) dan Ustaz Faizuddin bin Hassan(penuntut Master Syariah Universiti Terbuka Amerika Kaherah,tahun 2)


Perginya Seorang Murabbi Umat

June 14, 2009

Berita kematian

Ini adalah berita selepas zuhur hari sabtu 13/6 yg disiarkan di aljazeera.net, qudspress.com, ikhwan-jor.com, almoslim.net dan lain-lain. Beritanya adalah seperti berikut:

Pada pagi sabtu, Syeikh Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah mana dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital otel deo.

Berita penafian

Berita ini kemudia dinafikan oleh Jabhah Islami yang diketuai oleh Dr Fathi yakan dan keluarga fathi yakan. Ia disiarkan dalam alarabiya.com, aljazeera.net, Islamonline.net, alquds.co.uk dan lain. Berita ini adalah setelah 2 jam selepas berita kematiannya. Beritanya adalah seperti berikut:

Pejabat Dr fathi yakan telah melaporkan kematian Dr Fathi Yakan. Namun berita ini dinafikan oleh pihak Jabhah Islami yang menyatakan Dr Fathi Yakan dalam keadaan amat kritikal. Pihak Hospital enggan memberi ulasan tentang ini.

Sumber terdekat memberitahu bahwa Dr Fathi dalam keadaan “mati katil”. Jantungnya bersambung dengan alat melalui tabung uji. Kesalahan berita disebabkan kengganan untuk mencabut alat ini disaat-saat akhir.

Dalam Hal ini mufti Tarablas berkata “Tidak ada seorang ulama pun yang memberi fatwa tentang keharusan mencabut tabung uji ini dari pesakit.

Berita terbaru telah melaporkan bahwa keluarga Dr Fathi yakan menafikan kewafatannya dan menyatakan bahawa beliau dalam keadaan sangat tenat.

Pihak Hospital telah menyatakan bahwa terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau.

Terbaru: Berita pengesahan kematian (3 jam selepas penafian)

Akbar Jazeera menyatakan:

Pada hari ini telah wafat pendakwah Islam Dr Fathi Yakan ketua Jabhah Amal Islami di lubnan ketika umurnya menjangkau 77 tahun kerana penyakit yang kronik.

Berita kewafatannya telah dilaporkan pada zuhur hari ini kemudia dinafikan oleh keluarganya dan mereka mengatakan ia dalam keadaan kronik. Kemudian berita kematiannya disahkan selepas itu.

Sumber AFP pula menyatakan:

Pihak Jabhah telah menyatakan bahwa beliau telah wafat pada asar hari ini iaitu 4.45 petang. Jasadnya akan dipindahkan pada pagi Ahad dari Hospital otel deo (timur beirut) ke Tarablas di utara lubnan.

Islamtoday telah menyatakan:

Sebahgian laman web telah melaporkan kematian terlampau cepat (sebelum kematiannya) dan berita ini disahkan palsu sehinggalah datangnya kenyataan rasmi dari pejabat syeikh Fathi Yakan.

Laman yang di pantau beliau daawa.net telah menyatakan:

Jenazah beliau akan disolatkan pada asar hari ahad 21 jamadul akhir 1430 hijrah di Masjid Tinal dan akan dikebumikan di perkubnran keluarga di Babur raml.

Ulasan: ini menunjukkan berita kematiannya pada pagi tadi adalah tidak betul dan syeikh baru meninggal petang tadi.

sementara itu pihak HAMAS dan alqassam di laman webnya telah memberikan ucapan takziah, ia adalah seperti berikut(takziah HAMAS):

بقلوب مؤمنة بقضاء الله وقدره تتقدم حركة حماس من الشعب اللبناني والحركة الإسلامية والأمة العربية والإسلامية بأصدق مشاعر التعزية الأخوية وبخالص المواساة القلبية بوفاة المفكر الكبير والداعية الإسلامي المجاهد الشيخ الدكتور فتحي يكن.

Latar belakang Fathi Yakan

Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam (cawangan ikwanul muslimin) sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya’ni intiami lil Islam, al-Mutasiqituna fala toriq Da’wah, kaifu nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku. Beliau telah memantau laman web dakwah.net. Isteri beliau bernama mona yakan dan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

MOGA-MOGA ALLAH MERAHMATI BELIAU DAN MEMBERI KESABARAN KEPADA AHLI KELUARGA BELIAU.

Rujukan: Laman-laman web yang disebut dlm artikel dan lain-lain.

Sumber:Blog Salman Maskuri


Pabila Maut Terasa Begitu Hampir

June 11, 2009

Minggu ini menjadi minggu yang sedih bagi saya dan sahabat-sahabat di Mesir ini atas pemergian Allyarham Muhammad Ammar b. Zulkifli yang terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam.Berita lanjut anda boleh membacanya di post saya sebelum ini bertajuk “Kemalangan Pelajar Kaherah”.Allayarham merupakan pelajar tahun 3 kuliah perubatan Universiti Kaherah.Saya sendiri sempat mengenali dan bertemu dengan beliau sepanjang saya berada tidak sampai setahun di Mesir ini.Beliau merupakan seorang senior yang baik,berbudi bahasa dan bersopan santun.Kali terakhir saya berbual dengannya ialah semasa di dalam Masjid Bustan selepas solat Zuhur.

Kita juga turut bersedih atas tragedi yang berlaku ke atas saudara semuslim kita di Narathiwat.11 orang daripada mereka termasuk imam ditembak mati oleh 2 lelaki yang tidak dikenali bersenjatakan raifel ketika mereka sedang menunaikan solat di dalam Masjid al-Furqan.Berita ini juga anda boleh mengetahui lebih lanjut dalam post saya yang bertajuk “Kezaliman Terhadap Umat Islam Berterusan”.Kita sama-sama doakan agar Allayarham Ammar dan saudara kita di Narathiwat,Thailand digolongkan dalam golongan orang yang mendapat nikmat iaitu golongan nabi-nabi,siddiqin(orang-orang yang benar),syuhada’(orang-orang yang mati syahid di jalan ALLAH),solehin(orang yang membuat amal soleh).

Kedua-dua peristiwa di atas benar-benar memperingat diri ini bahawa ajal dan maut itu begitu hampir sekali.Ia tidak mengenal usia dan tempat,bangsa dan bahasa,pangkat dan harta,sebaliknya akan berlaku bila-bila masa sahaja menurut apa yang telah ditentukan oleh ALLAH Azza Wajalla.Perkara ini semua orang telah ketahui hakikatnya.Cumanya antara sedar ataupun tidak.Apabila berlakunya peristiwa kematian yang membabitkan insan yang kita kenali barulah kita semua tersedar bahawa kematian ini satu yang pasti ke atas setiap manusia dan kita semua hakikatnya sedang mengira-mengira dan menanti sisa-sisa umur kita di dunia.Bezanya antara kita sama ada kita mati sebagai husnul khatimah(kesudahan yang baik) atau suul khatimah(kesudahan yang buruk).Kita memohon kepada ALLAH menggolongkan kita semua dalam golongan yang mendapat husnul khatimah.Firman ALLAH Azza Wajalla dalam surah Ali Imran ayat 185,mafhumnya:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda melalui riwayat Abu Hurairah r.a,

“Perbanyakkanlah mengingati perkara yang menghapuskan segala kelazatan(dunia)(yakni mati)“[riwayat Tirmidzi,hadis hassan]

Tuntutan baginda nabi s.a.w. di atas sememangnya satu tuntutan yang benar-benar bermanfaat kepada umat Islam kerana apabila kita sentiasa mengingati mati sekaligus akan melenyapkan segala keinginan kita terhadap semua kelazatan yang ada atas dunia ini.Dunia ini sememangnya diciptakan dengan pelbagai keseronokan dan kelazatan untuk manusia.Makan,minum,tidur,kenyang,bermain,semuanya aktiviti yang meberikan kita kelazatan kepada kita.Hatta orang fakir miskin sendiri pun masih lagi merasai kelazatan dunia iaitu mereka mampu lagi bernafas dengan dengan sistem pernafasan yang baik  dan begitu juga dengan sistem-sistem yang lain dalam badan mereka.Semuanya ini adalah lazat.Berapa ramai yang mempunyai masalah dalam sistem pernafasan mereka yang menyebabkan mereka tidak dapat turut sekali merasakan kelazatan bernafas sebagaimana orang-orang lain.

Kebiasaannya,manusia apabila sentiasa bergelumang dengan segala macam keseronokan dan kelazatan dunia ini,mereka akan mudah lupa bahawasanya mereka hanya berada sekejap sahaja di bumi ini sebaliknya akan tinggal kekal abadi di hari akhirat kelak sama ada di syurga atau neraka.Kita memohon perlindungan dengan ALLAH agar dijauhkan dari azab api neraka.Namun,apabila segala keseronokan ini terlepas daripada genggamannya,barulah manusia sedar dan kembali kepada fitrah yang sebenar(iaitu mengabdikan diri kepada ALLAH).Keseronokan itu boleh jadi hilang buat sementara waktu mungkin disebabkan tidak sihat,tiada duit dan sebagainya.Tetapi bila kita bercakap mengenai soal mati,ia bukan menghapuskan kelazatan dunia buat sementara waktu bahkan buat selama-lamanya.Sebab itu mengingati mati satu penawar yang amat mujarab bagi muslim yang ingin kembali bertaubat kepada ALLAH serta kembali mengukuhkan dan merapatkan hubungannya dengan ALLAH.

Satu perkara yang kita perlu faham bahawasanya kita sebenarnya bukan takut dengan saat kematian itu.Ya,memang saat sakaratul maut itu dahsyat tetapi ada saat peristiwa yang perlu kita lebih takut iaitu saat selepas daripada mati iaitu alam barzakh dan alam hari akhirat.Kedua-dua alam inilah yang perlu kita lebih takut akan saatnya dan membuat persediaan yang serapi mungkin bagi menghadapi kedua-dua alam ini.Adalah tidak cerdik jika kita hanya takut kepada cerita-cerita mengenai kematian dan merasa ringan dengan cerita-cerita mengenai azab-azab pada hari akhirat kelak sedangkan al-Quran dan hadis nabi menceritakan dengan begitu dahsyat sekali mengenai azab yang menimpa ke atas orang-orang yang melakukan kezaliman di atas muka bumi ini.Antara kedahsyatan yang digambarkan ALLAH di dalam al-Quran:

Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah.Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa.“(surah al-Haqqah,ayat 36-37)

Sesudah itu kamu akan meminum air yang sangat panas.Maka kamu minum seperti unta yang sangat haus minum.Itulah hidangan untuk mereka pada hari Pembalasan.“(surah al-Waqiah,ayat 54-56)

Dua ayat al-Quran di atas sudah cukup untuk menggambarkan betapa deritanya bagi orang-orang yang melakukan kezaliman dan dosa semasa hidup atas dunia ini.Akhirnya,orang yang beriman mengimpikan kematian(lebih-lebih lagi mati syahid) kerana ianya merupakan jambatan kepada syurga yang dijanjikan sementara orang-orang kafir membenci kematian kerana bukan sahaja hilangnya nikmat dunia di tangan mereka bahkan hakikatnya ianya merupakan jambatan kepada neraka.Bagaimana pula dengan kita?


Kezaliman Terhadap Umat Islam Berterusan…

June 10, 2009

NARATHIWAT (Selatan Thailand): “Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami,” kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin.

Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.

ANGGOTA keluarga mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan Narathiwat kelmarin, melihat jemaah yang mati ditembak penyerang bersenjata raifal ketika solat Isyak. - Foto Reuters

ANGGOTA keluarga mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan Narathiwat kelmarin, melihat jemaah yang mati ditembak penyerang bersenjata raifal ketika solat Isyak. - Foto Reuters

Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.

Serangan kejam itu, yang dianggap paling buruk di selatan Thailand, menyebabkan 10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat.

Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.

Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.

“Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri,” katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, Nasir amat bersedih mengenangkan ramai jemaah termasuk Wan Abdullah yang menjadi korban serangan kejam itu.

Isteri Wan Abdullah, Yah Che Kob, 58, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya, kira-kira 50 meter di hadapan masjid berkenaan.

ORANG ramai melihat mayat mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, malam kelmarin. - Foto Reuters

ORANG ramai melihat mayat mangsa serangan di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, malam kelmarin. - Foto Reuters

“Secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi tembakan bertalu-talu macam bertih goreng dari arah masjid. Saya terus berlindung di sebalik pintu rumah dan sejurus selepas itu, terdengar jeritan penduduk kampung menyatakan masjid diserang.

“Saya hanya mampu mendoakan keselamatan suami kerana saya tahu dia mengimamkan solat Isyak. Secara kebetulan anak lain keluar, jika tidak mereka juga berjemaah di masjid,” katanya.

Yah berkata, jenazah suaminya hanya dapat dikeluarkan dari masjid itu kira-kira jam 7 pagi semalam.

“Serangan ini amat kejam. Mereka tergamak menyerang dan membunuh umat Islam yang sedang solat,” katanya dengan nada sedih mengenangkan kematian suaminya yang sudah 15 tahun menjadi imam masjid itu.

Adik Wan Abdullah, juga seorang imam, Wan Ismail Wan Latif, 58, berkata selain abangnya, turut terkorban ialah lapan ahli kumpulan tabligh yang berkunjung ke masjid itu sejak tiga hari lalu.

Jenazah semua mangsa disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung itu kira-kira 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penduduk termasuk kumpulan pelajar pondok sekitar Narathiwat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Razak Ali, yang meninjau tempat kejadian pagi semalam, mengutuk serangan kejam itu.

“Serangan kejam ini didalangi pihak yang tidak mahu melihat keamanan dinikmati semua penduduk di selatan Thailand. Mereka yang berbuat begini sebenarnya mahu melihat selatan Thailand terus berada dalam pergolakan,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati, dinding depan masjid dan cermin pintu turut mempunyai kesan peluru, dipercayai akibat tembakan yang tersasar, manakala sebahagian besar lantai dipenuhi darah jemaah yang terkorban. Kesan itu hanya dibersihkan kira-kira 2 petang semalam dengan sebuah lori tangki air yang dihantar pihak berkuasa tempatan.

Sumber:Berita Harian Online


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 38 other followers