Lelong Pahala

September 21, 2008

Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan ekspot kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar.

Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya.

Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga.

Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.

Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini.

Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.

Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya:

“Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.

Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut:

“Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah).

Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.

Kerana Pulus

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah s.a.w:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia”(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun, pulus punya pasal pahala pun orang sudah jual. Mungkin jika saudagar unta leher panjang Jamal Pak Tongkol dengar, dia akan kata: “jual pahala lebih untung daripada jual unta”.

Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi’i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Najm, ayat 39 (maksudnya):

“Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”,

beliau menyebut:

“Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri.”Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi’i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggalak, atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut samada secara nas yang jelas, atau isyarat.Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.ahum yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah pun mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah-ubah dengan berbagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).

Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah dari kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperolehi syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.

(Tulisan ini saya ambil daripada laman web Minda Mufti, http://drmaza.com/)


Salam Ramadhan

September 19, 2008


Mukadimah

September 19, 2008

Blog ini diwujudkan sejak bulan September 2008.Ia dikendalikan sepenuhnya oleh penulis.Niat yang terdetik untuk menghasilkan blog tercetus apabila melihat banyak perkara yang boleh dicapai melalui penghasilan blog.Selain dapat berkongsi pemikiran,idea dan pendapat,blog juga dapat melatih individu untuk menghasilkan penulisan-penulisan yang baik.Namun,apa yang lebih penting daripada itu,blog ini jika diuruskan dengan sebaik mungkin,ia mampu menjadi wadah kepada penyebaran dan perkembangan dakwah kepada masyarakat.

Blog ini diharap dapat memberikan manfaat kepada pembaca melalui artikel-artikel ilmiah yang diambil daripada pelbagai sumber,serta penulisan mingguan, catatan atau diari penulis sendiri sepanjang berada di bumi Mesir.Semoga blog ini mampu menjadi medium dakwah dan memberikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang berguna kepada pelawat.

Dialu-alukan kepada semua pelawat untuk mengambil mana-mana maklumat yang bermanfaat yang ada dalam blog ini dan disebarkan kepada orang lain .Diharapkan sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan kesalahan dalam maklumat yang dipaparkan dapat diberitahu segera kepada penulis.Lebih-lebih lagi maklumat mengenai ilmu agama kerana memandangkan keterbatasan ilmu penulis dalam penguasaan bidang agama secara mendalam.

Sesungguhnya saya tidaklah mengharapkan apa-apa pujian,habuan,hadiah daripada penulisan ini sebaliknya hanyalah mendambakan keredhaan dan keampunan Allah s.w.t. atas usaha yang kecil ini.Amatlah rugi bagi mereka yang beramal hatta seberat gunung tetapi tidak ikhlas kerana Allah s.w.t.Sebagaimana hadis yang sangat masyhur diriwayatkan oleh al-Imam Bukhori dan Muslim rahimahumallah,Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu adalah berdasarkan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan.Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya,maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya.Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang diperolehinya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya,maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan”.

Akhir kata,segala komen dan teguran yang membina mengenai blog ini boleh diajukan terus di ruangan komen atau hantarkan emel di a_marzuki_26@yahoo.com.


Ready For The Last Ten Nights?

September 19, 2008

As salamu alaykum wa’ rahmatullahi wa’ barakatuhu!

Narrated by Aisha (ra), Allah’s Apostle (saws) said, “Search for the Night of Qadr in the odd nights of the last ten days of Ramadhan” [Bukhari n.1896]

Are you ready for the last ten nights then? I think I’m …. or maybe I’m not. You know, you often think you are not doing enough to please Allah and feel guilty if you forget to do something. So I’m planning this year, maybe trying to read some more Qur’an in arabic…(maybe only the Surahs that I know), doing more dhikr during those nights.. and most important thing, I think, it’s to go to sleep straight after taraweeh and wake up for the night prayer insh’Allah!

Narrated by Aisha (ra), “With the start of the last ten days of Ramadhan, the Prophet (saws) used to tighten his waist belt (i.e. work hard) and used to pray all the night, and used to keep his family awake for the prayers” [Bukhari n. 1903]

Narrated by Abdullah bin Umar (ra), “Allah’s Apostle used to practise Itikaf in the last ten days of the month of Ramadhan” [Bukhari n. 1904]

I’ve never met a sister who did Itikaf, I really wish to meet one insh’Allah. It must be a wonderful experience mash’Allah, you alone with Allah and nothing else to think about, nothing bothering you about the dunya. One day insh’Allah I hope to experience it myself!. Maybe we think too much about the world around us and our daily duties at home, so we don’t give ourselves a chance to try it, just following our imaan! Don’t know, I really think it shouldn’t be that difficult if planned in advance then Allahu a’alam!

So lets get started for our chance of Laylat al Qad’r, insh’Allah!


Mudahnya Mencari Isteri Solehah

September 19, 2008

”Sukar betul nak mencari isteri yang solehah,” luah seorang pemuda selepas kami sama-sama menghadiri Seminar Keluarga Bahagia anjuran sebuah badan kebajikan.

”Macam mencari gagak putih,” tambahnya.

“Agaknya, memang dah jadi hukum dunia, yang berharga itu susah mendapatkannya,” katanya lagi sambil merenung muka saya. Agaknya, dia cuba mengundang respons saya. Saya cuma tersenyum.

“Dah kahwin?” Akhirnya, saya bertanya.

”Belum lagi…”

”Kenapa?”

Dia pula tersenyum.

”Belum dapat yang solehah?” saya terus mengusik.

Lewat Tiga

”Kira-kira saya dah lewat tiga ni,” katanya sambil menjeling saya, ”Lewat tiga tahun!”

Saya kehairanan.

”Saya dah 28 tahun. Umur ideal untuk kahwin kan 25 tahun? Saya dah terlajak tiga tahun.”

”Oh, gitu… biar terlajak usia, jangan tersalah pilih!” usik saya lagi. Seronok, berbual dengan pemuda ceria sepertinya.

”Nak cari yang betul-betul solehah bukan senang.”

”Kalau tak jumpa, macam mana?”

”Tulah yang saya pening ni. Adakah syarat-syarat saya ni terlalu sukar dipenuhi?”

”Apa syaratnya?”

”Syarat-syarat wanita solehah… mesti solat, taat ibu bapa, berakhlak, tutup aurat, pandai mengaji, puasa sunat…”

”Macam tu tak susahlah… ramai yang ada syarat-syarat macam tu,” balas saya.

Ukur Taqwa

“Tu yang lahiriah. Yang paling penting bertaqwa,” katanya lagi.

”Macam mana pula nak ukur taqwa tu?” tanya saya.

“Tu yang pening. Taqwa tu dalam hati. Ni soal hati. Tapi apa boleh buat, saya nakkan juga isteri yang solehah, isteri yang bertaqwa!”

”Nak tak kalau saya bagi tip mudah bagaimana nak dapat isteri yang solehah?” pelawa saya.

”Adakah cara mudah? Tak percaya pula saya.”

“Tak payah susah-susah nak ukur, telek, nilai dan kaji orang lain….,” ujar saya lagi.

“Tak payah nak teropong taqwa dan iman di dada orang lain…,” tambah saya.

Dia semakin hairan.

Ada Cara Lain

“Saya tak faham. Macam mana kita boleh memilih calon isteri tanpa menilai syarat-syaratnya. Itu kan panduan dari hadis?”

“Itu satu cara. Tapi ada cara lain yang juga menggunakan prinsip yang sama.”

“Apa caranya tu?”

“Untuk dapat isteri solehah, jadikan diri kita dulu calon suami yang soleh!” tegas saya.

Dia terdiam sejenak. Belum sempat dia bersuara, saya susuli dengan penjelasan:

“Cuba cari ciri-ciri suami yang soleh… Bina semua tu dalam diri kita. Bina sahsiah lahiriah seorang lelaki soleh. Kemudian muhasabah pula soal hati…. ukur iman dan taqwa kita.”

“Nak ukur iman dan taqwa kita… susah tu. Itu soal maknawi!”

“Tapi itu jauh lebih mudah daripada nak mengukur iman dan taqwa orang lain…”

Dia mengangguk-angguk.

Lebih Tepat

“Alhamdulillah, tersingkap satu dimensi lain dalam usaha saya mencari isteri yang solehah. Tapi apa jaminan cara ni lebih cepat?”

“Saya tak maksudkan lebih cepat, tapi mungkin lebih tepat. Sebab cara ni ada kelebihannya…”

“Apa kelebihannya?”

“Sebab semuanya terletak pada diri kita sendiri. Lebih cepat kita membina sifat-sifat lelaki soleh… Lebih cepat kita meningkatkan iman dan taqwa… maka lebih cerahlah peluang untuk mendapat isteri yang solehah. Semuanya atas usaha kita terhadap diri kita sendiri. Kalau cara dulu tu lebih tertumpu pada diri orang lain…”

“Jaminan seratus-peratus?”

“Mana ada jaminan macam tu? Insya-Allah. Kan jodoh pertemuan di tangan Allah?”

”Yalah itu, saya tahu… tapi sekadar memastikan.”

”Bukankah Allah dah jamin lelaki yang mukmin untuk wanita yang mukminat? Lelaki yang soleh akan bertemu jodoh dengan wanita yang solehah? Insya-Allah.”

Terlalu Ideal

”Habis sekarang ni saya terpaksalah hentikan usaha mencari wanita solehah demi berusaha menjadi lelaki yang soleh, gitu?”

”Tak gitu. Cuma lebihkanlah usaha menjadi lelaki yang soleh. Sambil tu teruskanlah juga pencarian menjejaki isteri yang solehah.”

”Baik juga cara ni. Serampang dua mata,” katanya.

”Satu lagi…pesan saya, berpada-padalah dengan piawaian solehah awak tu. Jangan terlalu tinggi, nanti tak tercapai. Cukuplah dengan tahap yang sederhana.”

”Maksudnya?”

”Jangan terlalu ideal menilai calon isteri. Justeru sifat-sifat solehah itu sesuatu yang ’on going process’. Maksudnya, dibina secara berterusan. Mungkin sebelum kahwin tahapnya rendah sedikit, tapi dengan pimpinan suaminya nanti, tahap solehahnya boleh dipertingkatkan lagi.”

Mudah Bukan Untuk Dipermudah

”Boleh lebih kuranglah ya?”

”Bukan begitu maksudnya. Panduan dan ajaran Islam ini mudah tetapi itu bukan alasan untuk dipermudah-mudahkan.”

”Apa kaitannya itu dengan apa yang kita bincangkan ni?”

”Begini, awak mesti lebih ketat dalam menilai diri sendiri. Jangan ambil mudah soal iman dan taqwa diri. Letakkan piawaian yang tinggi buat diri sendiri. Bukankah lelaki yang nantinya akan menjadi pemimpin isteri dalam rumah tangga? Sebaliknya, permudah dan rendahkanlah sedikit penilaian terhadap calon isteri, dengan perkiraan nanti dia boleh dibentuk lagi setelah menjadi isteri kita…”

”Oh, saya faham…”

”Baguslah kalau begitu. Sayangnya, kebanyakan lelaki menilai sebaliknya… Untuk dirinya dinilai dengan piawaian soleh yang rendah, tetapi untuk calon isterinya dinilai dengan piawaian solehah yang tinggi… Itu silap.”

”Alhamdulillah… saya harap jodoh saya akan tiba jua nanti.”

”Amin… tamatkanlah penantian solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan soleh diri!”


Buat Peminat Ramlee Awang Murshid,Novelis Thriller No Satu Di Malaysia

September 19, 2008

Novel terbaru beliau berjudul Hijab Sang Pencinta,novel trilogi pelengkap kepada Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu.Berikut ialah sinopsisnya:

“RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA – pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya. Ikutilah epik thriller ini…”

Harga : RM 19.90
Halaman :520Boleh didapati di pasaran sekarang atau layari laman web http://www.alaf21.com.my/ untuk tempahan online.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 38 other followers